Pages

Wednesday, March 10, 2010

Kes Bekas Isteri AJK Umno tuntut RM5 Juta Tangguh 6 Mei

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kes perbicaraan tuntutan mutaah RM5 juta oleh bekas isteri Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah ditangguhkan 6 Mei ini berikutan penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Hakim Syarie, Mohd. Shukor Sabudin semalam menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dan membalas jawapan tuntutan terma-terma perjanjian oleh Kadar Shah selaku defendan.

Fauziah Haron dalam permohonannya menuntut mutaah, wang idah RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.

Antara tuntutan lain termasuk hutang defendan dengannya sebanyak RM250,000 iaitu bayaran kereta yang dijanjikan mahu diselesaikan oleh bekas suaminya itu dan unit saham bernilai RM1.5 juta.

Fauziah yang merupakan bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia pada 1975 juga menuntut harta sepencarian mereka termasuk kondominium di Genting Highlands, kediaman di Bukit Jelutong, apartmen di Hawaii dan Los Angeles selain tiga kereta mewah.

Pasangan yang berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Kadar Shah yang merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar tidak hadir ke mahkamah semalam dengan alasan berada di Indonesia atas urusan perniagaan dan merupakan anak kepada bekas Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah

No comments:

Posting Terkini