KUALA LUMPUR: Beberapa artis di Malaysia, termasuk seorang berpangkat Datuk, yang masih aktif dalam bidang hiburan telah disenaraikan muflis atau bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).
Surat itu yang turut dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memaklumkan hasrat meminta kerjasama Karyawan dan Seniman menyalurkan maklumat terkini mengenai artis muflis terbabit.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata perkara terbabit sesuatu yang serius ketika dunia hiburan mulai diberi sokongan penuh oleh kerajaan. Ia perlu ditangani bersama demi menjaga imej artis supaya tidak dipandang negatif oleh masyarakat.
'Setakat ini Karyawan dimaklumkan mengenai empat artis yang diisytihar bankrap, termasuk Datuk berkenaan. Semua adalah lelaki.
'Sebagai pemimpin persatuan artis, saya melihat langkah JIM menghubungi kami bukan untuk memalukan sesiapa tetapi mencari jalan menyelesaikan masalah supaya artis yang menghadapi masalah ini lebih bersikap bertanggungjawab dan tidak lari membayar hutang,' katanya.
Menurut Datuk Freddie, jumlah hutang empat artis itu pada pihak bank sehingga diiktiraf bankrap tidak diberitahu.
Namun, sebagai persatuan, Karyawan memberi 'lampu hijau' jika empat artis itu melantik pihaknya sebagai orang tengah.
'Saya sedar hal begini lebih bersifat peribadi, justeru jika artis menghadapi masalah bankrap tidak mahu kita campur tangan, Karyawan tidak boleh buat apa-apa.
'Cuma ingin saya jelaskan, masalah bankrap perlu diselesaikan bagi mengelak kemudahan yang ada digantung. Jika artis itu buat tidak faham, tidak mustahil pihak JIM akan berhubung dengan pihak produksi atau majikan artis itu.
'Katakan artis itu berlakon drama atau filem mahupun menyanyi, JIM boleh berurusan dengan majikan artis itu sama ada produser atau promoter untuk membuat potongan bayaran bagi membolehkan artis bankrap itu menjelaskan tunggakan pada bank,' katanya.
Presiden Seniman, Encik Harun Salim Bachik, pula berkata: 'Sebelum apa jua tindakan diambil, ia perlu diteliti. Apa saja aspek bantuan dikehendaki Jabatan Insolvensi, Seniman tiada masalah menghulurkan bantuan.
'Perkara ini membabitkan artis yang sering tampil di media dan lebih baik nama mereka tidak didedahkan untuk menjaga maruah. Andai nama tersebar menerusi media, periuk nasi mereka akan terjejas.' - Metro Ahad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment