KOTA SARANG SEMUT 15 Mac - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang Tan Wei Shu akan keluar parti ekoran tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Tegas Anwar Wei Shu, 54, akan terus setia bersama KEADILAN sekalipun kecewa kerana difitnah oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan pertemuan beliau dengan bekas Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan itu di Sungai Petani petang semalam untuk memujuknya agar tidak mengambil keputusan drastik melompat parti ekoran digugurkan daripada jawatan Exco pada 10 Mac lalu.
"Pertemuan itu lebih sekadar jamuan makan malam di antara saya dan Wei Shu di mana isu yang dibincangkan adalah lebih kepada isu semasa parti dan bukan menjurus kepada masalah peribadi.
"Sebarang dakwaan yang menuduh Wei Shu berkecil hati kerana tidak dipilih semula sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri adalah tidak benar kerana menurut penjelasan yang diberikan Wei Shu, beliau hanya berkecil hati kerana dituduh tidak buat kerja sewaktu dilantik ahli Exco selama dua tahun," jelas Anwar pada media selepas menghadiri Ceramah Perdana sempena sambutan dua tahun pentadbiran Pakatan Rakyat Kedah di Kota Sarang Semut semalam.
Menurut Ketua Pembangkang lagi dakwaan yang menyatakan pengguguran Wei Shu adalah merupakan rancangan kepimpinan KEADILAN Kedah yang kurang senang dengan ADUN Bakar Arang itu juga adalah tidak benar kerana rombakan Exco sebenarnya adalah mengikut keperluan dan atas budi bicara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
"Wei Shu juga turut memahami bahawa rombakan Exco Kerajaan Negeri yang dibuat adalah mengikut keperluan mengubahsuai di bawah budi bicara Menteri Besar. Jadi segala dakwaan negatif mengaitkan Wei Shu dengan permasalahan KEADILAN negeri adalah tidak benar," kata beliau.
Anwar berkata spekulasi yang ditimbulkan oleh sebuah akhbar arus perdana yang kononnya Wei Shu merajuk hingga tidak hadir kemajlis mengangkat sumpah ahli Exco Kerajaan Negeri yang baru tempoh hari dianggap satu propaganda yang dimainkan oleh media bertujuan untuk menimbulkan masalah kepada parti itu di Kedah.
Monday, March 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment