PERIKSA SERPIHAN: Seorang askar Lebanon memeriksa serpihan daripada bangkai pesawat Boeing 737 Ethiopian Airlines yang terhempas di perairan Lebanon, ke selatan ibu kota Beirut, semalam. -- Foto AFP
BEIRUT: Sebuah pesawat Ethiopian Airlines membawa 90 orang yang menuju Addis Ababa terbakar dan terhempas di Laut Mediterranean sejurus berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Beirut awal pagi semalam, kata Menteri Pengangkutan Encik Ghazi al-Aridi.
'Tapak nahas telah dikenal pasti kira-kira 3.5 kilometer ke barat kampung Na'ameh,' demikian Encik Aridi memberitahu pemberita di lapangan terbang.
Pasukan petugas antarabangsa dari Lebanon, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Cyprus dan askar pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil), yang dibantu pesawat, helikopter dan kapal berkejar ke perairan Lebanon untuk mencari mangsa yang terselamat, sewaktu hujan lebat dan ombak besar menghanyut serpihan ke pantai, kata para pegawai.
Sejauh ini sekurang-kurangnya 34 mayat sudah ditemui.
Punca nahas belum diketahui. Tetapi Lebanon dilanda hujan lebat dan ribut petir sejak Ahad.
Presiden Lebanon, Encik Michel Suleiman, menolak serangan pengganas sebagai punca nahas pesawat Penerbangan 409, yang menuju ke Addis Ababa, ibu kota Habsyah.
'Buat masa ini sabotaj bukan penyebab nahas,' tegas beliau.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Saad Hariri, berkata pasukan penyelamat kini bekerja keras untuk mencari mangsa yang terselamat.
'Yang paling penting ialah mencari mangsa yang terselamat,' tegas beliau.
Pesawat Boeing 737-800 Penerbangan 409 itu hilang daripada skrin radar lima minit selepas berlepas pada 2.37 pagi dalam cuaca ribut petir dan hujan lebat, kata pegawai lapangan terbang.
Penduduk di kawasan pantai nampak 'bebola api' terhempas di perairan Na'ameh.
Pesawat itu membawa 90 orang, termasuk 83 penumpang dan tujuh kru pesawat. Encik Aridi mengenal pasti penumpang pesawat sebagai 54 warga Lebanon, 22 Habsyah, seorang warga Iraq, seorang warga Syria, seorang warga Canada, seorang warga Russia, seorang wanita Perancis dan dua warga Britain.
Cik Marla Pietton, isteri duta besar Perancis ke Lebanon, Encik Denis Pietton, adalah antara penumpang pesawat, menurut kedutaan Perancis.
Askar Lebanon berhasil mengutip serpihan bangkai pesawat termasuk tempat duduk dan bagasi yang dihanyutkan ombak ke pantai.
Para pegawai Kementerian Pertahanan berkata pesawat berkecai di udara sebelum terhempas dan tenggelam di perairan sedalam 50 meter. -- AP, AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment