NEW YORK: Majlis Keselamatan PBB menjangkakan satu permintaan bagi pengerahan 3,500 askar dan polis PBB tambahan ke Haiti akan diluluskan hari ini, di tengah-tengah keadaan kucar-kacir di jalan-jalan raya Port-au-Prince, ibu kota negara miskin di rantau Caribbean itu.
Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, menggesa agar misi keselamatan pertubuhan itu ke Haiti ditambah, sedang beliau memberi taklimat kepada 15 negara anggota majlis tersebut semasa mengadakan lawatan enam jam ke ibu kota Haiti itu.
Encik Ban berkata beliau telah meminta misi PBB itu - dikenali sebagai Minustah - ditambah dengan seberapa ramai yang mungkin.
'Saya mengusulkan Majlis Keselamatan menambah jumlah askar seramai 2,000, satu penambahan 33 peratus, sepanjang enam bulan,' dan jumlah pegawai polis harus ditingkatkan sebanyak 1,500 orang, atau 67 peratus, kata beliau.
Para diplomat berkata majlis itu akan bertemu pagi ini untuk melakar satu resolusi draf mengenainya, seperti yang diusulkan oleh Amerika Syarikat.
Satu salinan teksnya yang diperolehi agensi berita AFP meluluskan permintaan Encik Ban itu dan berkata: 'Minustah akan mengandungi komponen tentera sehingga 8,940 askar pelbagai pangkat dan satu komponen polis sehingga 3,711 orang.'
Sementara itu, di Port-au-Prince, ribuan mangsa gempa Haiti bertungkus-lumus menaiki bas untuk keluar daripada tekanan kelaparan dan keganasan di ibu kota negara tersebut, dengan harapan dapat mencari bekalan makanan dengan lebih mudah di kawasan desa.
Namun, kedua-duanya minyak dan makanan semakin berkurangan di Port-au-Prince sehingga menyebabkan para pemandu bas menaikkan tambang - memaksa sesetengah penumpang membayar sehingga tiga hari gaji menempah tempat duduk mereka.
Kebanyakannya melarikan diri ke ladang-ladang kecil milik saudara mara mereka, didorong oleh kelaparan, kerana bantuan asing gagal diterima oleh sebahagian besar penduduk yang terjejas oleh bencana itu.
Di Washington, Amerika sedang bersedia mempersiapkan negara itu dengan kemasukan warga Haiti yang mahu keluar dari negara yang dimusnahkan gempa itu, walaupun dasar Amerika terhadap pendatang tetap sama: kecuali segelintir, kebanyakannya akan dihantar pulang.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Amerika berkata ia akan membenarkan anak-anak yatim dari Haiti masuk ke negara itu secara sah supaya mereka boleh menerima penjagaan yang diperlukan.
'Kami komited untuk berbuat apa sahaja yang kami mampu untuk membantu menyatukan keluarga di Haiti semasa waktu kesusahan ini,' kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Cik Janet Napolitano, dalam satu kenyataan.
Langkah Amerika itu, bagaimanapun, tidak terbuka kepada semua anak yatim Haiti tetapi mengikut kes-kes tertentu sahaja. -- AFP, AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment