Pages

Wednesday, January 27, 2010

Giliran Pakatan bincang isu Zul, Khalid Ahad ini?

KUALA LUMPUR, Jan 27 — Kehangatan isu penggunaan kalimah “Allah” yang membawa kepada ‘permusuhan’ dua ahli Parlimen parti komponen Pakatan Rakyat (PR) dijangka berterusan sehingga mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden PR, Ahad ini.

Semalam Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk merujuk Ahli Parliman Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin kepada lembaga disiplinnya kerana bertindak membelakangi dasar parti.

Ahad lalu, beliau membuat laporan polis agar rakan sejawatannya dari Shah Alam, Khalid Samad, wakil PAS disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengesyorkan enakmen agama Islam Selangor dikaji semula.

Walaupun tiada agenda khusus setakat ini mengenai isu kontroversi kalimah “Allah”, The Malaysian Insider difahamkan perkara itu akan turut menjadi perhatian kepimpinan PR.

Malah PR pernah berhadapan dengan kes seumpama itu sebelum ini tetapi akhirnya diserahkan kepada parti terbabit untuk mengambil tindakan disiplin.

Sejak pertengahan tahun lalu aspek disiplin juga menjadi perhatian kepimpinan PR untuk mengelak ia dijadikan modal serangan Barisan Nasional (BN).

Tahun lalu kenyataan-kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menjadi perhatian khususnya berkaitan dengan isu jualan minuman keras di Shah Alam dan perjalanan Selcat di negeri itu.

Ia berakhir dengan langkah jawatankuasa pusat PAS merujuknya kepada jawatankuasa disiplin. Keputusan jawatankuasa itu akan diumumkan Jumaat ini.

Agenda utama pertemuan Majlis Pimpinan Presiden kali ini ialah membincangkan hasil konvensyen sulung PR bulan lalu.

“Tetapi jika ada mana-mana pihak yang membawa isu ini (kalimah Allah dan tindakan Zulkifli) tiada halangan,” kata Saifuddin Nasution yang akan mengambil alih jawatan setiausaha agung PKR pada keesokan hari.

Saifuddin menambah amalan PR pada masa sekarang ialah apa-apa isu disiplin ahli atau pemimpin sesebuah parti komponen akan diselesaikan oleh parti masing-masing.

“Buat masa sekarang Pakatan tiada mekanisme untuk menangani kes-kes disiplin. Jika ada kes kami akan salurkan kepada parti masing-masing,” katanya.

Jelas beliau, kes Zulkifli membabitkan perkara sama ada beliau telah membelakangi dasar PKR apabila bertindak sedemikian iaitu membuat laporan polis ke atas seorang rakan dari PR.

“Sebab, kita ada saluran untuk menyelesaikan masalah, apa jua perkara berbangkit,” kata beliau lagi.

Dalam reaksi segera semalam Zulkifli juga mahu Khalid dikenakan tindakan serupa oleh PAS atas alasan PR tiada mekanisme.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kemungkinan isu kalimah “Allah” dan perkara-perkara berkaitan akan menjadi fokus perbincangan mesyuarat Ahad ini.

“Saya rasa perkara ini akan disentuh untuk mencapai kata sepakat, pendirian bersama dalam soal,” kata beliau yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin PAS ketika dihubungi.

PKR semalam membuat keputusan merujuk kes Zulkifli kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat serta membuat keputusan terhadap beliau dalam masa 30 hari. Parti juga mengeluarkan “gag order” atau larangan supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan parti serta merosakkan perpaduan PR.

Sementara itu anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya berkata, keputusan semalam tidak mencerminkan keseriusan parti itu menyelesaikan isu disiplin di kalangan ahlinya.

“Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut “due process “atau proses keadilan dalam undang undang.

“Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untok mengambil tindakan.

“Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut,” katanya.

Zaid berkata beliau yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

“Hanya yang mudah dan expedient. PKR hari ini tak jauh bezanya dengan Umno; cuma ia hanya seperti acuan atau “a poor man’s version of” Umno.

“Ada pihak amat takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli, walaupun jelas tindakannya yang mahu menghancurkan parti dari dalam kerana bimbang dengan persepsi bahawa orang Melayu dan Islam sayang kapada Zulkifli.

“Dia kononnya popular dengan ‘isu Islamnya’. Tapi Zulkifli bukan wira Islam. Bukan wira Melayu,” katanya.

Tambah beliau sikap, perbuatan dan kata-katanya sama dengan jaguh-jaguh Umno.

“Lagi pula Zulkifli terang-terang membuat kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti dan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Kata Zaid, nampaknya PAS lebih berprinsip dan berani kerana sanggup mengambil tindakan kepada Hassan tetapi PKR takut kapada Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

No comments:

Posting Terkini