Pages

Wednesday, December 2, 2009

Indonesia dibebani rasuah dalam sektor perhutanan

JAKARTA: Amalan rasuah dan salah pengurusan dalam perusahaan perhutanan Indonesia yang menguntungkan kini menjadi beban kos AS$2 bilion ($2.8 bilion) setahun kepada negara sedang membangun itu.

Ia, malah, bersamaan dengan jumlah keseluruhan belanjawan kesihatan bagi negara itu, kata satu laporan sebuah kumpulan hak asasi, semalam.

Kumpulan Human Rights Watch adalah pertubuhan bebas terbaru yang mendakwa berlakunya rasuah berleluasa dalam salah satu daripada perusahaan eksport paling penting Indonesia.

Laporan kumpulan itu menonjolkan dapatan terbaru berhubung dengan masalah itu hanya seminggu sebelum satu persidangan iklim yang dijangka mengusulkan satu rancangan membayar negara-negara miskin bagi tujuan menjaga kawasan hutannya.

Badan hak asasi yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, itu berkata siasatannya menunjukkan bahawa Indonesia telah membelanjakan AS$6 bilion dalam masa empat tahun hingga 2006.

Ini berpunca daripada kehilangan pendapatan cukai melalui amalan membalak secara haram, royalti hutan yang ditawarkan pada harga lebih rendah daripada sepatutnya dan pendapatan penjualan kepada anak-anak syarikat di luar negara yang dicatatkan pada nilai lebih rendah.

Kerugian-kerugian itu semakin meningkat - bermula sebanyak AS$1.2 bilion pada 2003 dan bertambah kepada AS$2 bilion pada 2006.

Pihak berkuasa wilayah dan daerah Indonesia membelanjakan sebanyak jumlah itu setiap tahun bagi tujuan penjagaan kesihatan, kata laporan itu lagi.

Meskipun mengalami kerugian itu, Indonesia meraih pendapatan sebanyak AS$6.6 bilion daripada kegiatan perhutanannya,. menjadikannya perusahaan paling menguntungkan bagi sesebuah negara di belakang Brazil.

Laporan itu berkata rasuah dalam perusahaan itu adalah isu hak asasi serta penting dari segi kesannya terhadap sekitaran dan ekonomi.

Ini kerana wang amat diperlukan oleh sektor kesihatan dan program-program sosial di negara itu dan wang bagi tujuan itu kini berada dalam saku para eksekutif korporat dan pegawai-pegawai pemerintah yang rasuah. -- AP.

No comments:

Posting Terkini