Iran tahan lima pelayar Britain
LONDON: Iran menahan lima pelayar Britain selepas memintas kapal layar mereka di Teluk Parsi.
Tindakan itu bakal meningkatkan ketegangan di antara Iran dengan kuasa besar dunia, termasuk Britain, yang mendesak Teheran menghentikan program nuklearnya.
Kementerian Luar Britain menyatakan kapal layar tersebut dipintas ketika dalam perjalanan ke Dubai Rabu lalu apabila ia 'mungkin memasuki perairan Iran secara tidak sengaja'.
Kapal layar itu sedang menyertai Perlumbaan Layar Pesisir Dubai-Muscat sejauh 580 kilometer. -- AP.
Lanun Somalia tawan kapal tangki
NAIROBI (Kenya): Kapal tangki yang mengangkut minyak mentah bernilai AS$20 juta ($27 juta) ke Amerika Syarikat dari Arab Saudi telah ditawan oleh lanun Somalia.
Kapal Maran Centaurus itu berada 1,300 kilometer di luar pantai Somalia apabila ia ditawan bersama 28 anak kapal.
Kapal tangki itu kemudian diarahkan menuju ke pantai Somalia sementara bayaran wang tebusan dirundingkan. -- AP.
Korea Selatan nafi Kim Jong-il terbunuh
SEOUL: Kementerian Penyatuan Korea Selatan semalam menafikan khabar angin bahawa pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-il, telah meninggal dunia setelah diserang.
Pada Ogos lalu, Encik Kim telah diserang angin ahmar tetapi kini dilaporkan telah sembuh. -- AP.
Anak Bill Clinton bertunang
NEW YORK: Anak perempuan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton, akhirnya bertunang dengan pasangan kekasihnya setelah lama bercinta.
Cik Chelsea Clinton, 29 tahun, bertunang dengan Encik Marc Mezvinsky, seorang pegawai bank pelaburan minggu lalu.
Cik Chelsea merupakan satu-satunya anak perempuan mantan presiden ini bersama dengan Setiausaha Negara, Cik Hillary Clinton. -- AP.
Sri Lanka bebaskan 127,000 pelarian Tamil
COLOMBO: Sri Lanka semalam membebaskan hampir 127,000 pelarian etnik Tamil yang ditahan di kem pemerintah sejak enam bulan lalu apabila perang saudara berakhir.
Sebelum ini, pemerintah berkata golongan itu perlu ditahan agar pemeriksaan dapat dijalankan bagi memastikan mereka tidak mempunyai pertalian dengan kumpulan pemberontak. -- AP.
Bongkah ais kini tuju arah timur dari NZ
WELLINGTON (New Zealand): Angin kencang di selatan Lautan Pasifik menolak bongkah ais yang menuju ke New Zealand ke arah timur, jauh dari negara itu.
Amaran berjaga-jaga bagi kapal dikeluarkan minggu lalu dan pihak berkuasa maritim memantau kumpulan bongkah ais itu yang terapung ke arah utara dari Antartika ke South Island.
'Kelihatan bongkah berkenaan menghilang di timur New Zealand,' kata pakar lautan Institut Kajian Air dan Atmosfera New Zealand, Encik Mike Williams. -- AP.
Wednesday, December 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment