Pages

Wednesday, December 2, 2009

Obama dijangka umum strategi baru di Afghan

WASHINGTON: Presiden Barack Obama pagi ini dijangka mengumumkan rancangan dan strategi baru perang di Afghanistan.

Dalam satu ucapan yang akan disiarkan melalui televisyen kira-kira sembilan pagi ini, Presiden Obama dijangka mengumumkan langkah mengerah sehingga seramai 35,000 askar ke Afghanistan memerangi kumpulan Taleban dan Al-Qaeda, serta menguasai bandar Afghan dengan menambah bantuan awam.

Encik Obama mempunyai tugas untuk 'menjenamakan semula' perang sejak lapan tahun lalu di negara yang sedang menghadapi perbezaan pandangan itu, dikecewakan lagi dengan bertambahnya jumlah kematian askar Amerika, pengangguran, satu bajet keluarga yang ketat, dan jumlah defisit yang semakin meningkat.

Beliau perlu meyakinkan mereka yang masih dalam keadaan ragu terhadap kemampuan langkah menambah askar itu dalam membawa kemenangan kepada tentera Amerika yang dikerahkan ke Afghanistan selepas peristiwa serangan pengganas di New York dan Washington pada 11 September 2001.

Tinjauan pendapat menunjukkan sokongan awam terhadap perang telah menurun sedikit dengan lebih 900 askar Amerika terbunuh di Afghanistan.

Pada Oktober lalu saja, 74 askar Amerika terkorban, bulan paling teruk dialami oleh tentera negara itu. Ramai askar asing dan Afghan terbunuh.

Presiden Obama telah mengambil masa berbulan-bulan menyiapkan keputusan yang dikhuatiri sesetengah pihak boleh merosakkan janji beliau untuk membuat pembaharuan.

Para pembantu presiden itu berkata beliau tidak akan melupakan suasana merenggut jiwa semasa lawatannya ke pangkalan udara tentera di Delaware untuk memberi penghormatan askar yang kecundang.

Ucapan beliau di Akademi Tentera Amerika di West Point pagi ini akan turut membaharui strategi Amerika terhadap Pakistan dan akan diteliti dengan dekat oleh pemerintah asing, yang cuba menentukan hasrat Amerika.

Presiden Obama juga dijangka memberi amaran kepada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang masih meraguinya bahawa perang itu adalah perang mereka juga dan meminta agar dikerahkan lebih ramai askar.

Para penasihat utama berkata, Presiden Obama akan memberitahu Afghanistan dan Pakistan bahawa Amerika tidak boleh kekal di sana.

Namun, beliau juga akan menawarkan jaminan bahawa Washington tidak akan meninggalkan mereka. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini