YANGON: Dua wakil kanan Amerika Syarikat semalam tiba di Myanmar untuk mengadakan pertemuan dengan junta tentera dan ikon demokrasi, Cik Aung San Suu Kyi.
Ia merupakan lawatan berprofil paling tinggi yang dilakukan Amerika dalam tempoh 14 tahun.
Lawatan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Encik Kurt Campbell, dan timbalannya, Encik Scot Marciel, adalah usaha terbaru pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mengadakan pertemuan langsung dengan rejim tentera itu.
Kedua-dua wakil Amerika itu kemungkinan besar tidak akan menemui ketua junta, Encik Than Shwe.
Sebaliknya mereka dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Thein Sein di Naypyidaw, semalam.
Mereka akan ke Yangon hari ini untuk menemui pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Cik Suu Kyi.
Ogos lalu, mahkamah melanjutkan tempoh tahanan dalam rumah Cik Suu Kyi selama lagi 18 bulan selepas beliau didapati bersalah membenarkan seorang lelaki warga Amerika, yang menyeberangi tasik untuk ke rumahnya, bermalam di situ.
Encik Campbell adalah pegawai tertinggi Amerika yang melawat Myanmar sejak lawatan Cik Madeleine Albright ke sana pada 1995 sebagai Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah pentadbiran Presiden Bill Clinton.
'Kami melihat lawatan itu sebagai permulaan pertemuan langsung di antara pemerintah Amerika dengan Myanmar,' kata Encik Nyan Win, jurucakap Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD).
'Tetapi kami tidak menjangkakan perubahan besar menyusuli pertemuan itu. Lawatan tersebut hanya merupakan peringkat pertama,' tambahnya. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment