Pages

Sunday, November 22, 2009

Umno Kelantan perlu eksploitasi isu PAS tarik sokongan

PASIR MAS, Nov 22 - Umno Kelantan masih mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan rakyat memandangkan banyak kelemahan pada PAS yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata bagi tujuan itu Umno perlulah meningkatkan jentera penerangannya dan harus merebut peluang akan kemelut yang melanda PAS.

Barisan Nasional kehilangan pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum 1990.

PAS menerajui Kelantan di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang 19 tahun lalu.

“Umno di Kelantan kini underdog (tidak mendapat sokongan) tetapi jangan lupa Manik Urai... keputusan pilihan raya di kawasan itu baru-baru ini jelas menunjukkan rakyat Kelantan mahu berubah,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata perlu bagi Umno untuk terus bekerja keras bagi memperkasakan parti itu agar terus mendapat sokongan rakyat.

“Saya mengarahkan Bahagian Penerangan untuk bermuzakarah mengenai isu-isu semasa kepada ahli sebulan sekali, supaya mereka faham isu-isu semasa di samping dapat merapatkan hubungan sesama ahli,” katanya.


No comments:

Posting Terkini