Pages

Sunday, November 22, 2009

Tan Sri Khalid Ibrahim disaman RM500 juta

PUNCAK ALAM - Ahli Lembaga Pengarah LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN), Datuk Paduka Khairuddin Abu Hasan telah melantik peguam untuk menyaman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebanyak RM500 juta kerana dikatakan memfitnahnya.

Menurutnya, saman itu dibuat kerana beliau mendakwa Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan mencemarkan imej secara peribadi melalui portal Kerajaan Negeri Selangor mengenai Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana.

“Saya mahu beliau (Abdul Khalid) menjawab perkara ini di kamar mahkamah kerana natijah dari perbuatan beliau, saya kini sukar membuat pinjaman bank.

“Saya tegaskan di sini, tujuan saya terlibat dalam projek ini adalah untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat tetapi beliau bukan sahaja enggan memberi kerjasama malah enggan menemui saya,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, kenyataan akhbar Abdul Khalid bertajuk ‘Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat’ didakwa sebagai memfitnah dirinya dan menganggap kenyataan itu tidak bertanggungjawab, tidak berasas, mengemukakan fakta yang tidak tepat serta mempunyai niat jahat untuk mencemarkan imej mahupun kredibiliti syarikat LBCN Development Sdn Bhd.

Selaku Ahli Lembaga Pengarah LBCN Development Sdn Bhd, Khairuddin akan mengambil tindakan undang-undang saman malu sejumlah RM500 juta ke atas Abdul Khalid dan Kerajaan Negeri di atas kenyataan biadab dan tidak bertanggungjawab tanpa usul periksa secara lebih mendalam.

Khairuddin berkata, kenyataan Abdul Khalid telah merosakkan kredibiliti dan imej beliau dalam kalangan masyarakat serta ahli perniagaan malah sikap jahat itu telah mendatangkan pelbagai implikasi negatif ke atas diri beliau serta syarikat.:

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang bentuk kepentingan peribadi di dalam syarikat tersebut dan adalah warga perniagaan serta pelabur tulen di Selangor yang tidak menjadi kroni mana-mana tokoh politik baik di peringkat kerajaan negeri atau Pusat.

Beliau juga mahu Abdul Khalid memberikan bukti sekiranya mereka adalah kroni mana-mana pemimpin BN di Selangor dan mesti bertanggungjawab di atas setiap kenyataan yang dimuatkan dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.



No comments:

Posting Terkini