Pages

Monday, November 30, 2009

Sekilas - Dunia

Mahu kemuka saman kerana banjir di Saudi

RIYADH: Seorang peguam hak asasi Arab Saudi kelmarin berkata beliau akan menyaman majlis perbandaran Jeddah selepas banjir kilat mengorbankan 103 orang minggu lepas.

Peguam berkenaan, Encik Walid Abu al-Kheir, berkata keluarga mangsa menyokong saman itu yang mendakwa salah pengurusan kerja binaan oleh majlis perbandaran Jeddah sebagai punca banjir.

'Mereka tidak membina parit saliran. Mereka dakwa tiga tahun dulu bahawa ia telah siap,' tegas beliau. -- AFP.

Serah kawalan senjata nuklear kepada PM

ISLAMABAD: Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, kelmarin menyerahkan kawalan senjata nuklear negara itu kepada Perdana Menteri, Encik Yousuf Raza Gilani.

Langkah itu bertujuan mengelakkan tekanan politik selepas tempoh pengampunan ke atas Encik Zardari tamat semalam.

Encik Zardari dan sekutu politiknya kini berdepan kemungkinan didakwa atas pertuduhan jenayah. Parti pembangkang menggesa beliau mengurangkan kuasa atau meletak jawatan. -- AP.

Askar tegar agama enggan patuhi arahan

BAITULMAKDIS: Tentera Israel kini menghadapi masalah dalaman selepas askar yang tegar agama enggan mematuhi arahan supaya memindahkan peneroka Yahudi dari petempatan di Tebing Barat.

Kebimbangan meletusnya pemberontakan memaksa panglima tentera memberi amaran kepada sekumpulan rabai bahawa pihak tentera tidak akan bertolak ansur terhadap pelajar yang degil semasa berkhidmat dalam tentera.

Mejar Jeneral Avi Zamir, ketua pejabat sumber manusia, berkata sesetengah rabai menggesa pengikut mereka supaya tidak mematuhi arahan yang bertentangan ajaran agama Yahudi. - AFP.



No comments:

Posting Terkini