Monday, November 30, 2009
Aishah Menang Ganti Rugi Am Kes Saman Terhadap EMI
PETALING JAYA: Selepas 10 tahun, akhirnya kes saman penyanyi Aishah terhadap syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. atas dakwaan memungkiri perjanjian selesai didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Keputusan yang memihak kepada Aishah, 44, atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin selaku plaintif, disambut dengan nafas lega dan rasa kesyukuran.
"Walaupun saya tidak dapat ganti rugi seperti yang dituntut, setidak-tidaknya saya dapat menuntut ganti rugi am dan lain-lain kos perbicaraan yang akan ditentukan kemudian.
"Kejayaan ini begitu bermakna kepada saya kerana susah payah saya selama bertahun-tahun. Saya naik turun mahkamah begitu lama....bayangkanlah, sampai anak saya pun dah besar," jelas Aishah dalam satu perbualan telefon sejurus selepas melangkah keluar dari mahkamah.
Aishah, memfailkan saman tersebut pada 6 Disember 1999, dan beliau telah diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.
Dalam pernyataan tuntutan terpindanya, penyanyi menuntut ganti rugi RM406,000, ganti rugi am bagi melanggar kontrak, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa defendan telah memungkiri kontrak antara kedua-dua pihak.
Selain perintah injunksi, Aishah menuntut perintah supaya EMI menyerahkan semua album dan artikel yang mencerobohi hak ciptanya yang kini berada dalam milik syarikat berkenaan.
Kes saman itu pernah dibatalkan pada 2 November 2004 selepas Aishah gagal hadir untuk pendengaran kes tersebut.
Bagaimanapun pada 3 Ogos 2005, Hakim Tee Ah Sing telah membenarkan permohonan Aishah untuk menghidupkan semula saman dan pernyataan tuntutan terpinda.
EMI dalam pernyataan pembelaannya pula menafikan dakwaan Aishah dan mengemukakan tuntutan balas membabitkan ganti rugi sebanyak RM93,071.66 daripada penyanyi tersebut.
"Yang penting, semuanya dah selesai dan saya boleh teruskan kerja saya macam biasa. Selama 10 tahun kes ini berjalan, saya mengalami banyak kerugian. Perjalanan kerjaya saya juga turut terjejas disebabkan kes ini.
"Saya tidak menyangka yang mahkamah akan buat keputusan hari ini. Nak jadi cerita sebelum saya ke mahkamah pagi tadi, tayar kereta saya pula pancit...," jelas ibu tunggal kepada dua orang anak - Arman Azhari, 13 dan Azhad Ahlami, 7.
Menurut Aishah, dia akan membuat kenduri kesyukuran sedikit masa lagi untuk meraikan kejayaannya.
"Saya benar-benar rasa lega kes ini sudah berakhir. Ini bukan soal wang ringgit tapi soal prinsip. Saya tidak suka hak saya sebagai artis diperlekehkan...," jelas Aishah yang kini bernaung di bawah syarikat Sony-BMG Records.
Labels:
Seni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment