KILLEEN, Texas: Seorang pakar psikiatri menembak dengan dua pistol di markas tentera darat Fort Hood, membunuh 12 dan mencederakan 31 yang lain.Pegawai tentera darat juga berkata suspek tidak terbunuh seperti yang disangka sebelum ini.
Pihak berkuasa menamakan suspek sebagai Major Nidal Malik Hasan, iaitu pakar psikiatri yang merawat askar yang cedera dalam peperangan di luar negara dan bersiap sedia untuk tugasan luar sekali lagi.
"Siasatan kami masih berjalan tetapi laporan awal menunjukkan ia membabitkan hanya seorang penembak. Penembak itu tidak mati tetapi dalam tahanan dan stabil selepas ditembak beberapa kali," kata Ketua Pemerintah Fort Hood, Left Jen Robert Cone.
Cone sebelum ini menyatakan suspek mati ditembak pegawai polis dalam insiden di markas tentera terbesar dunia itu.
Ditanya sama ada kejadian tembak itu adalah perbuatan keganasan, Cone berkata: "Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu tetapi saya menyatakan kepada anda pada masa ini bukti tidak menjurus kepadanya."
Pihak tentera darat menyatakan lelaki itu memulakan tembakan pada 1.30 petang CST (1930 GMT) di Pusat Pemprosesan Persediaan Askar, iaitu kumpulan bangunan di mana askar melalui pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas untuk tugas di luar negara.
Sepupu suspek, Nader Hasan berkata beliau adalah seorang Muslim kelahiran Amerika Syarikat dan menyertai tentera selepas tamat sekolah menengah.
Katanya, sepupunya itu bertugas sebagai pakar psikiatri di Walter Reed Army Medical Center di Washington DC yang merawat ramai askar yang cedera parah.
"Beliau adalah pakar psikiatri di Walter Reed dan merawat mereka yang baru kembali...cuba membantu mereka mengatasi trauma," katanya.
Beliau berkata, sepupunya itu dipindahkan ke Fort Hood April lalu dan keberatan untuk dihantar ke Iraq.
"Kami sudah tahu sejak lima tahun lalu bahawa itu adalah mimpi ngeri beliau," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment