Pages

Friday, November 6, 2009

Banjir : lebih 1035 penduduk pindah

KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda Terengganu semakin buruk pada sebelah petang hari ini, dengan 1,035 penduduk daripada 260 keluarga di beberapa daerah dipindahkan ke tempat selamat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Terengganu berkata sehingga 3 tadi, 507 mangsa banjir daripada 144 keluarga dari lapan kampung di daerah Besut telahpun dipindahkan.

"Seramai 478 penduduk daripada 105 keluarga di Hulu Terengganu juga telah dipindahkan dan 50 mangsa di Dungun juga telah dipindahkan ke tempat seperti sekolah, masjid, surau, balai raya dan rumah saudara-mara," katanya kepada Bernama.

Operasi pemindahan penduduk di beberapa daerah terlibat masih berjalan. Beberapa jalan utama juga telah ditutup termasuk kepada kenderaan berat, antaranya km 17 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong di Kampung Kuala Ping yang dinaiki air sedalam satu meter, manakala di km 13 jalan yang sama di Kampung Kepah, jalan digenangi air sedalam satu meter sepanjang 100 meter menyebabkannya tidak selamat digunakan untuk semua kenderaan.

Di km 8 Jalan Kuala Berang-Telemong di Kampung Bukit Tadok, jalannya ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 1.5 meter.

Sehingga 3 petang juga, empat batang sungai mencatat bacaan di paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lepas.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berkata sungai-sungai itu ialah Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Terengganu dan Sungai Hulu Terengganu.

Katanya bacaan paras air Sungai Besut di Kampung La, berada pada kedudukan 22.16 meter, melepasi paras bahaya 19.2 meter, manakala di Sungai Setiu, di Jambatan Permaisuri pula, bacaan air ialah pada 9.10 meter, melepasi paras bahaya 8.5 meter.

Di Sungai Terengganu di Kampung Langkap, bacaan paras air ialah 22.6 meter, mengatasi tahap bahaya 21.5 meter, sementara di Sungai Berang, Hulu Terengganu di Kuala Ping, paras air kini 20.64 meter melepasi paras bahaya 20 meter.

Keadaan cuaca di sini mendung dan hujan lebat turun sekali sekala. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan banjir yang mula melanda sejak awal pagi tadi. - Bernama

No comments:

Posting Terkini