Pages

Thursday, November 5, 2009

Penggunaan VOA tidak akan dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan penggunaan visa ketika ketibaan (VOA) walaupun terdapat pihak yang menyalahguna kemudahan itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.

Beliau berkata penggunaan VOA adalah bagi menggalakkan industri pelancongan negara, dan kerajaan mempunyai kaedah tersendiri untuk mengatasi masalah keselamatan yang timbul akibat penyalahgunaan visa itu.

"Apabila libatkan keselamatan negara kita ambil tindakan sendiri, seperti gantung (penggunaan VOA) pada negara-negara tertentu seperti Pakistan, Afghanistan dan India, di mana rakyat mereka banyak melanggar kemudahan VOA," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Aziz Abdul Kadir (PKR-Ketereh) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah rakyat asing yang tinggal lebih masa di negara ini dan apakah kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan penggunaan VOA.

Abu Seman berkata dari 2006 hingga Ogos 2009, sebanyak 28 peratus atau seramai 75,462 daripada 271,391 rakyat asing yang diberi VOA, tinggal lebih masa di Malaysia.

Menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) sama ada Imigresen mempunyai pangkalan data untuk mengenal pasti rakyat asing yang melakukan kesalahan di Malaysia, beliau berkata pihak Imigresen sering menjalankan pemeriksaan mengejut ke tempat tinggal mereka.

"Pemeriksaan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh semasa mereka mendaftar untuk mendapatkan pas memasuki negara ini," katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini