KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Selepas kecoh dengan isu tangkapan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama tanpa surat tauliah, hari ini anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula mengadu dilucutkan tauliah mengajar agama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan mempunyai rekod jenayah.
Anggota Parlimen PAS itu juga mendakwa JAIS gagal memberi alasan kukuh termasuk apakah jenis jenayah yang dilakukannya apabila beliau mempersoalkan tindakan jabatan itu.
"Saya kini seorang penjenayah yang telah melakukan jenayah tetapi jenayahnya adalah rahsia, JAIS telah tarik balik tauliah saya kononnya polis kata saya ada rekod jenayah.
"Apabila saya tanya polis apakah jenayah yang telah saya lakukan, mereka kata perkara itu tidak boleh diberitahu kerana ia adalah rahsia," katanya semasa membahaskan Bajet 2010 pada sidang Dewan Rakyat di sini Khamis.
Khalid sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama setahun antara 1987 dan 1988 dalam Ops Lalang.
Sementara itu, Khalid dalam perbahasannya mempertikaikan penggunaan istilah wang ihsan petroleum kepada Kelantan dan bukannya royalti.
Beliau cuba meraih sokongan anggota Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Terengganu sama ada mereka faham apa dimaksudkan Perdana Menteri semalam berhubung istilah 'wang ihsan' berbanding 'royalti' seperti yang diterima Sabah dan Sarawak.
"Jika tidak faham seharusnya Yang Berhormat semua menentang usaha penyelewengan ini.
"Jika berdiam diri bermakna telah bersetuju untuk menyerahkan hak dan milik minyak di negeri masing-masing kepada Kerajaan Persekutuan. Pengkhianatan sebegini tidak akan dilupakan oleh rakyat dan pengundi dan pastinya akan dihukum kelak dalam pilihan raya," katanya.
Khalid mendakwa, jika berdasarkan penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung kelayakan negeri untuk menuntut royalti akan memberi implikasi hasil negeri-negeri pengeluar minyak akan dirampas oleh kerajaan pusat.
"Mengikut takrif lebih tiga batu nautika akan memberi implikasi hak Terengganu, Sabah dan Sarawak akan diserah kepada Kerajaan Persekutuan, bukan hanya Kelantan.
"Penipuan dan penyelewengan ini perlu ditentang supaya hak rakyat terus terpelihara dan tidak dirampas serta kerajaan perlu mengamalkan konsep Persekutuan," katanya.
Najib dalam jawapannya berhubung isu itu di Dewan Rakyat semalam menjelaskan bahawa Kelantan dan Terengganu tiada hak untuk menuntut wang royalti petroleum kerana kini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan negeri berkenaan yang ditakrif sebagai kawasan yang terletak tidak melebehi tiga batu nautika dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut.
Bagaimanapun menurut Khalid berdasarkan laporan-laporan kewangan tahunan rasmi Petronas sendiri telah mengisytiharkan negeri-negeri tersebut merupakan pengeluar minyak di Malaysia dan royalti turut diberikan kepada negeri berkenaan.
"Ini bermakna selama ini hak rakyat Kelantan telah dirampas oleh Kerajaan Pusat dan dalam sesi Parlimen kali ini Barisan Nasional (BN) ingin tutup perbuatan khianat mereka dengan memberi nama wang ihsan," katanya yang memohon 'sembah derhaka' dan menolak cadangan bajet itu.
Persidangan dewan bersambung esok.
-- BERNAMA
1 comment:
senang saja kenapa istilah wang ehsan digunakan :-
1. utk menunjukkan kununnya kerajaan pusat 'baik hati' sanggup berkongsi hasil dgn kerajaan negeri
2. utk 'menghalalkan' pengurusan wang ehsan tersebut oleh JPP (di bwh kendalian kerajaan pusat). jika wang yg dibyr itu adlh wang royalti, maka wang tersebut perlulah diserahkan kpd kerajaan negeri, spt yg termaktub didalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Perkara 4).
3. jumlah byrn wang ehsan juga tidak perlu terikat kpd 5%. kerajaan pusat boleh memutuskan sesuka hati hendak bagi berapa % kpd kelantan, disbbkn itu adlh wang ehsan (sedekah) dan bknnya royalti (hak). iyela, mane bleh paksa org bagi sedekah byk mana kn? kalo dh sedekah tu, mesti ikut seberapa ikhlas kn kn kn ;)
jadi, kalo ini yg dinamakan 1Malaysia, Rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan...ish ish sedih rasanya
Post a Comment