KUCHING: Empangan Elektrik Hidro Bakun di Sarawak kemungkinan memulakan pengeluaran 300 megawatt (MW) elektrik pada suku terakhir 2010, kata syarikat pemaju peojek, Sarawak Hidro Sdn Bhd.
engarah Urusannya, Zulkifle Osman, berkata empangan itu dijangka siap menjelang akhir 2011.
Katanya, lapan unit penjana turbin elektrik hidro mampu menghasilakan 2,400MW tenaga elektrik untuk dibekalkan ke Semenanjung, Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
"Langkah menaikkan paras air di empangan itu akan bermula pada Januari tahun depan. Bagaimana pun, ia bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri dan langkah itu akan mengambil masa lapan bulan.
"Turbin pertama akan mula beroperasi apabila semua kawasan takungan air penuh. Menjelang masa itu, empangan elektrik hidro itu akan menjana 300MW elektrik menjelang Oktober atau November pada tahun depan," katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Sarawak Hidro, sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan Malaysia, telah diberi tanggungjawab untuk memaju dan menguruskan Projek Elektrik Hidro sejak 1 Mei, 2000.
Sebuah syarikat tujuan khas yang pemegang sahamnya terdiri daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sarawak Eenergy Berhad (SEB) dan kerajaan negeri Sarawak, akan ditubuhkan untuk mengendali Empangan Bakun secara pajakan.
Empangan Bakun adalah projek kuasa hidro terbesar di Malaysia dengan kapasiti penjanaan 2,400MW. Ia terletak di Sungai Balui di lembangan Sungai Rejang, iaitu 37 km ke hulu bandar Belaga.
Projek itu dilaksanakan dengan sokongan dasar kepelbagaian bahan api kerajaan persekutuan, dengan menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan bersih dan menyasarkan untuk menyumbangkan secara signifikan untuk menampung peningkatan pemintaan bagi memdapatkan elektrik.
Pengurus Besar Sarawak Hidro, Tan Yong Long, berkata pembinaan Empangan Bakun untuk menjana 2,400MW elektrik itu kini sudah 92.84 peratus siap sehingga September tahun ini.
Tan berkata, empangan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2011 dan akan memerlukan penyambungan kabel elektrik dasar laut ke Semenanjung Malaysia.
"Kabel dasar laut sepanjang 675 kilometer itu akan menyambung Sematan di selatan Sarawak ke Tanjung Leman di Mersing, Johor, dan dijangka disiapkan pada 2016 untuk menyalurkan 1,700MW elektrik ke Semenanjung Malaysia," katanya.
Mengenai kesan alam sekitar, Tan berkata hidupan liar yang ditemui di kawasan yang akan digenangi air sedang diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan yang tidak terlibat, bersama-sama dengan flora yang tidak ternilai harganya seperti tumbuhan dan pokok yang jarang ditemui.
"Kami telah membersihkan kawasan 455 hektar di kawasan terpilih bagi pembangunan masa depan di sepanjang tebing sungai, di dalam kawasan berjejari 15 km dari empangan itu. Kerja-kerja itu bermula Januari tahun ini," katanya.
"Mengenai usaha menyelamatkan hidupan liar, kami berkerjasama dengan Perbadanan Hutan Sarawak pada sekurang-kurangnya di enam pulau yang disasarkan diwujudkan semasa menaikkan paras air di empangan itu, di dalam jarak 50 km ke hulu sungai dari empangan itu.
"Usaha menyelamatkan tumbuh-tumbuhan bermula Julai tahun ini. Usaha menyelamatkan binatang akan bermula sebaik sahaja usaha menaikkan paras air bermula," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment