Pages

Monday, November 9, 2009

Chavez arah tentera bersedia hadapi Colombia

CARACAS, Venezuela: Presiden Hugo Chavez mengarahkan tentera Venezuela bersedia untuk kemungkinan konflik bersenjata dengan Colombia.

Beliau menegaskan askar negaranya bersedia jika Amerika Syarikat cuba mengapi-apikan peperangan di antara dua negara Amerika Selatan yang berjiran itu.

Chavez berkata, Venezuela mungkin berperang dengan Colombia ketika ketegangan antara mereka memuncak dan memberi amaran jika konflik itu tercetus "ia boleh tersebar ke seluruh benua".

“Cara terbaik mengelak peperangan ialah dengan bersiap sedia menghadapinya," Chavez memberitahu pegawai tentera menerusi program mingguannya di televisyen dan radio.

Pemimpin sosialis Venezuela itu turut merujuk perjanjian antara Bogota dan Washington memberi capaian lebih luas kepada pangkalan tentera negara itu.

Kerajaan Presiden Colombia, Alvaro menolak apa yang disifatkannya "ancaman perang daripada kerajaan Venezuela" dan menambah beliau akan merujuk kenyataan Chavez kepada Pertubuhan Negara Amerika dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Colombia tidak pernah dan tidak akan berperang," kata jurucakap kerajaan, Cesar Mauricio Velasquez. - AP

No comments:

Posting Terkini