SAN SALVADOR: Sekurang-kurangnya 91 maut berikutan taufan hujung musim di Tengah Amerika yang membawa banjir dan tanah runtuh di El Salvador, manakala ribuan penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal di Nicaragua.
Taufan Ida yang membawa ribut petir semalam, kini menghala ke selatan Teluk Mexico dengan pegawai mengesahkan tiada kematian atau kerosakan di tempat percutian popular, Cancun.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat yang berpusat di Miami melaporkan Taufan Ida kini dalam kelajuan tertinggi iaitu 160 kilometer (km) sejam dan kini beralih ke pesisir pantai Caribbean di Mexico.
Ketika membadai, taufan berkenaan menyebabkan banjir di El Salvador dengan setakat ini 91 penduduk dilaporkan terkorban, manakala 60 lagi dilaporkan hilang.
“Kami mendapati jumlah kematian akibat banjir kini 91 orang, kata Menteri Dalam Negeri, Humberto Centeno.
Ketua Pertahanan Awam, Jorge Melendez, berkata jumlah angka korban mungkin bertambah kerana anggota penyelamat masih berada di wilayah Verapaz dan Tepetitan.
Di Tepetitan, tanah runtuh menyebabkan 30 rumah penduduk runtuh, manakala di Verapaz banyak rumah, kereta dan trak juga ditenggelami banjir lumpur. - AFP
No comments:
Post a Comment