MANILA: Seramai 16 orang terkorban, termasuk kanak-kanak, dalam satu kebakaran di kawasan setinggan yang sesak di tengah Filipina, awal pagi semalam.
Polis berkata api marak dari salah sebuah rumah setinggan tersebut sebelum merebak ke 60 rumah yang lain di kawasan pinggir bandar Bacolod.
Menurut polis, api turut merebak ke sebuah apartmen dua tingkat berdekatan, menyebabkan beberapa penghuni terjun dari tingkap rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Kebakaran yang bermula sekitar 1 pagi (waktu tempatan) itu hanya dapat dipadamkan sekitar dua jam kemudian.
Sebahagian besar mangsa dikatakan terkorban kerana mereka sedang tidur ketika kebakaran itu berlaku.
'Beberapa ibu terkorban bersama anak-anak mereka. Ia sangat tragik,' kata jurucakap balai bomba, Cik Pamela Candido.
Jurucakap polis, Encik Jared Esquilla, berkata sebahagian besar mangsa ialah kanak-kanak dan warga tua.
'Ini kebakaran paling dahsyat pernah berlaku di bandar ini,' kata Encik Esquilla.
Dianggarkan kebakaran itu menyebabkan kerugian aset sekitar 2.5 juta peso ($73,150).
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada api lilin yang digunakan salah seorang penghuni bagi satu upacara keagamaan.
Semua mangsa yang terkorban telah dikenal pasti oleh anggota keluarga masing-masing. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment