Pages

Thursday, October 29, 2009

Taleban serang asrama PBB di Kabul, 10 maut

KABUL: Gerila Taleban yang memakai jaket peledak, bom tangan dan mesingan, menyerang sebuah asrama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kabul semalam, menyebabkan 10 orang terkorban, termasuk enam pekerja PBB, kata para pegawai.

Pegawai polis Afghanistan, Encik Abdul Ghafar Sayedzada, berkata 10 orang terkorban, termasuk tiga penyerang. Menurutnya, polis sudah menguasai semula bangunan itu.

Mereka yang terkorban termasuk seorang pegawai polis dan seorang pegawai perisikan, kata seorang askar Afghan di tapak serangan.

Seorang jurucakap PBB, Encik Adrian Edwards, berkata enam pekerja PBB terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan itu, yang bermula subuh semalam di kejiranan Shar-e-Naw di Kabul.

'Ini satu insiden yang amat serius bagi kami. Kami tak pernah mengalami insiden serupa ini pada masa lalu,' kata Encik Edwards.

Penginap bertempiaran lari dari bangunan itu semasa ia diserang, sedang api kelihatan di bumbung dan asap berkepul ke udara.

Seorang pengawal keselamatan, Encik Noor Allah, berkata beliau nampak beberapa penginap terjun dari tingkap tingkat dua.

Polis Afghanistan menggunakan tangga untuk menyelamatkan seorang rakyat asing yang cedera.

Pasukan keselamatan Afghanistan berbalas tembakan beberapa jam dengan militan, kata polis.

Mayat tiga penyerang, yang berkecai, sudah dibawa keluar dari asrama untuk dibedah siasat, kata Encik Gul Mohammad, seorang lagi pegawai polis di tempat kejadian.

Encik Abdul Ghaim, seorang pegawai polis di tempat kejadian, memberitahu Reuters: 'Kami rasa mereka (militan) itu rakyat Pakistan.'

Hotel Serena, yang popular di kalangan rakyat asing, turut dibedil dengan roket semalam, tetapi tiada siapa terkorban atau cedera.

Namun serangan itu memaksa 100 penginap dan pekerja hotel mencari perlindungan dalam sebuah kubu bawah tanah.

Jurucakap Taleban, Encik Zabiullah Mujahid, mengaku bertanggungjawab di atas serangan ke atas asrama itu dan ke atas Hotel Serena.

'Ini serangan pertama. Kami sudah beri amaran akan menggagalkan pilihan raya presiden pusingan kedua (pada 7 November),' tegas beliau. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini