Pages

Sunday, October 25, 2009

Restoran mewah dengan sijil halal palsu

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran mewah di sini, yang mempamerkan logo halal besar di hadapan premisnya, dikesan menggunakan sejenis kicap beralkohol buatan Jepun bagi menyedapkan masakan selain turut menggunakan bahan tersebut bagi memerap ayam sebelum dimasak dan dihidangkan.

Penggunaan kicap mengandungi alkohol itu terdedah apabila lima pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibantu enam pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menyerbu restoran berkenaan di Wangsa Maju di sini kira-kira 11 pagi Rabu lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan pemilik restoran itu mendakwa dia membeli sijil halal yang tidak diiktiraf Jakim itu pada harga RM3,000 ($1,236) daripada sebuah syarikat.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Encik Mohd Amri Abdullah, berkata sijil halal palsu itu sebelum ini turut dikesan dijual oleh syarikat terbabit secara berleluasa terutama kepada pengusaha syarikat pengeluar makanan bukan Islam.

'Pegawai Jakim turut melakukan pemeriksaan di dapur restoran berkenaan bagi mengenal pasti ayam dan bahan mentah lain yang digunakan selain sumber ia diperoleh.

'Seorang tukang masak beragama Islam yang ditemui mengakui diarahkan agar menggunakan kicap khas yang diimport dari luar negara untuk memasak hidangan yang dipesan pelanggan,' katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui empat botol kicap yang mengandungi alkohol dan digunakan sebagai bahan wajib dalam kebanyakan hidangan.

Encik Mohd Amri berkata pemilik restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini