KUALA LUMPUR: Para penjenayah kini menggunakan taktik baru merompak mangsa - dengan membogelkan mereka, mengambil gambar mereka dan memaksa mangsa menelan dadah yang mengakibatkan mereka khayal sebelum melarikan diri, lapor akhbar Sin Chew Daily dan China Press.
Akhbar-akhbar itu berkata apabila mangsa sedar - biasanya dalam masa 10 jam kemudian - para perompak itu sudah pun menggunakan kad-kad kredit atau ATM mangsa dan mengeluarkan wang mangsa daripada akaun banknya.
Laporan-laporan itu berkata kes terbaru membabitkan tiga perompak yag memecah masuk bilik tidur seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi di Petaling Jaya, dan mengejutkan beliau daripada tidurnya sebelum menutup muka mangsa itu dengan kain.
Mereka mengikat tangan mangsa dengan wayar telefon sebelum menanggalkan pakaian tidurnya dan mengambil gambar mangsa dalam keadaan bogel dengan menggunakan telefon bimbit mereka.
Mereka malah mengancam untuk menyiarkan gambar-gambar itu di Internet jika mangsa berkenaan melaporkan kejadian itu kepada polis.
Para perompak itu kemudian memaksa mangsa itu mendedahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) kad ATM beliau dan memaksanya meminum cecair yang melemahkan mangsa dan membuatnya berasa mengantuk.
Apabila mangsa sedar pada keesokan harinya, beliau terus menelefon banknya tetapi mendapati para perompak itu telah mengeluarkan wangnya berjumlah RM15,000 ($6,180) daripada akaunnya. -- The Star.
No comments:
Post a Comment