NEW YORK: Agensi-agensi risikan menganggarkan bahawa Iran mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membangunkan satu senjata nuklear jika ia memilih untuk membangunkannya, kata para diplomat dan pegawai risikan Barat.
Sudah bertahun-tahun lamanya, Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), M16 dari Britain, Mossad dari Israel, rakan sejawatan mereka dari Perancis dan Jerman, serta agensi-agensi risikan lain bertungkus lumus untuk menembusi benteng rahsia program nuklear Iran, dengan mereka sering bercanggah pendapat antara satu sama lain mengenai bila Iran mampu mempunyai sebuah senjata nuklear.
Teheran, yang mendesak bahawa program nuklearnya adalah bagi tujuan keamanan, berkata para perisik Barat berbohong apabila mereka mengatakan Iran sedang membangunkan senjata nuklear.
Beberapa pegawai dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna memberi amaran supaya jangan membesar-besarkan dakwaan mereka terhadap Iran, seperti apa yang terjadi sebelum Perang Iraq.
Namun, beberapa diplomat Barat memberitahu agensi berita Reuters bahawa agensi-agensi risikan utama umumnya bersetuju bahawa Tehran memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membangunkan senjata atom jika ia memutuskan untuk berbuat demikian - satu jadual waktu lebih singkat berbanding daripada penilaian beberapa agensi yang dikeluarkan untuk umum mengenai rancangan nuklear Iran.
'Ia bukan satu penilaian rasmi atau persetujuan rasmi tetapi ia lebih kurang satu anggaran yang dipersetujui,' kata seorang diplomat Barat kepada Reuters atas syarat namanya tidak didedahkan.
Beliau berkata ia satu 'senario kes paling teruk', bukan yang berkemungkinan terjadi.
Satu lagi diplomat Barat mengesahkan persetujuan itu, sambil menambah bahawa penilaian itu berdasarkan anggapan bahawa Teheran memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menulenkan bekalan uraniumnya ke tahap gred senjata dan tambahan 12 bulan lagi untuk pembangunan senjata nuklear sebenar.
Jadual waktu minimum itu penting kerana ia memberikan isyarat tentang sejauh mana masa yang perlu diambil oleh enam negara - Amerika, Britain, Perancis, Jerman, Russia dan China - untuk memujuk Iran supaya menghentikan program memperkayakan nuklearnya itu, sebelum Teheran berupaya memiliki senjata atomnya sendiri. -- Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment