BAGHDAD: Pasukan keselamatan Iraq diletakkan dalam keadaan berwaspada semalam selepas kejadian letupan bom di kawasan tengah Baghdad menjadikan bandar itu bermandikan darah.
Ini sedang para pemimpin politik Iraq berusaha mencapai persetujuan mengenai penggubalan satu undang-undang pilihan raya utama di negara itu.
Letupan bom hampir serentak yang disasarkan ke arah bangunan pejabat pemerintah Iraq kelmarin mengorbankan lebih 100 orang, mencederakan 500 lagi dan meninggalkan serpihan tubuh manusia yang rentung di serata kawasan kejadian di ibu kota Iraq itu.
Serangan paling buruk di negara yang bergolak dengan keganasan sejak lebih dua tahun lalu itu didakwa oleh para pegawai pemerintah Iraq sebagai perbuatan kumpulan Al-Qaeda dan para penyokong Parti Baath, yang pernah dipimpin oleh bekas diktator Iraq, Saddam Hussein, dan kini diharamkan di negara itu.
Para pegawai hospital dan polis Iraq berkata perangkaan kematian akibat kejadian tersebut meningkat kepada 155 orang - termasuk puluhan kakitangan perkhidmatan awam.
Lebih 500 orang pula cedera dalam dua kejadian letupan yang berlaku serentak dan disasarkan ke arah bangunan Kementerian Keadilan dan pemerintah wilayah Baghdad.
Para pegawai itu bercakap atas syarat nama mereka tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa bercakap dengan pihak media.
Perdana Menteri Iraq, Encik Nuri al-Maliki, mempengerusikan satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) Iraq lewat kelmarin untuk membincangkan mengenai serangan-serangan itu dengan ketua tentera dan polisnya, kata jurucakap beliau, Encik Ali al-Dabbagh, dalam satu kenyataan.
Perdana menteri itu berikrar erangan-serangan itu tidak akan menjejas proses politik atau pilihan raya parlimen beliau menjelang Januari depan.
'Kami berjanji akan membawa musuh- musuh rakyat Iraq ke muka pengadilan, mereka yang mahu mencetuskan huru-hara dan menghalang proses pilihan raya,' kata beliau.
Beberapa jalan raya di kawasan tengah Baghdad masih ditutup semalam, dengan pasukan keselamatan Iraq masih lagi dilihat di serata jalan raya ibu kota negara itu.
Ini menyebabkan ramai penduduk terpaksa berjalan, sebahagiannya ke tempat kerja.
Puluhan kenderaan jenis humvee tentera Iraq ditempatkan di jalan-jalan raya manakala pusat-pusat pemeriksaaan baru didirikan.
Laluan trafik juga terjejas di luar lingkaran kawasan kejadian pengeboman itu, berdekatan dengan bangunan kementerian keadilan dan pemerintah wilayah di bandar itu. Hanya beberapa kenderaan dibenarkan masuk.
Kelmarin, salah seorang penyerang meletupkan sebuah trak yang berisikan bom di tengah-tengah kawasan persimpangan dekat bangunan kementerian tersebut, manakala seorang lagi meletupkan sebuah kereta di depan bangunan pemerintah wilayah. -- AFP, AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment