SALAM TAHNIAH: Encik Lee mengucapkan tahniah kepada Dr Yudhoyono di majlis angkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua semalam. -- Foto THE STRAITS TIMESJAKARTA: Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, 60 tahun, semalam mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua dari 2009-2014 dalam satu upacara yang turut dihadiri ketua-ketua negara jiran dan duta negara asing.
Naib Presiden, Encik Boediono, turut mengangkat sumpah jawatan dalam upacara yang dipengerusikan Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Encik Taufik Kiemas, dan turut dihadiri 647 anggota MPR.
Mantan presiden, Encik BJ Habibie, mantan naib presiden Encik Jusuf Kalla, dan mantan presiden, Encik Try Soetrisno, turut hadir. Namun mantan presiden Cik Megawati Sukarnoputri tidak kelihatan.
Encik Taufik Kiemas dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para pemimpin negara jiran, termasuk Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei; Presiden Jose Ramos Horta dari Timor- Leste; Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd; dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir ialah duta besar China, New Zealand, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Amerika Syarikat.
Menyusuli ucapan pembukaan, seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya membacakan keputusan pilihan raya presiden Julai lalu.
'Kami mengesahkan gandingan Susilo Bambang Yudhoyono meraih 73,874,562 undi atau 60.80 peratus daripada keseluruhan 121,504,581 undi,' kata pegawai berkenaan.
Dalam sumpah jawatannya Dr Yudhoyono berikrar akan menjalankan tugas sebaik dan seadil mungkin bagi rakyat Indonesia.
Ini diikuti Naib Presiden Encik Boediono dengan ikrar serupa.
'Saya ingin mengingatkan presiden dan naib presiden bahawa mereka bukan kepunyaan mana-mana kumpulan tertentu. Jadi, mereka harus melayani semua lapisan dan pihak di negara ini dengan adil,' kata Encik Taufik.
Selepas menandatangani watikah pelantikan jawatan, Dr Yudhoyono memberi ucapan sebagai presiden bagi penggal kedua 2009-2014.
Dalam ucapannya beliau mengucapkan terima kasih kepada mantan naib presiden Jusuf Kalla dan semua menteri kabinet yang menggandingi beliau selama lima tahun.
'Hari ini di tengah-tengah krisis kewangan, ekonomi kita masih berkembang, malah diramalkan akan mencapai pertumbuhan ketiga paling tinggi di dunia,' tegas beliau.
Rakyat Indonesia, kata beliau, masih dalam keadaan harmoni meskipun mengalami 'gelombang kemusnahan'.
Negara lain menggelarnya 'Indonesia Yang Menakjubkan' kerana berhasil menangani masalah berat sepanjang 10 tahun yang lalu, kata beliau.
'Namun, saya ingin megingatkan rakyat agar tidak lalai. Kita masih perlu belayar di lautan yang ombaknya besar dan ada ribut,' tegas beliau.
Menurut beliau, perbezaan pendapat adalah satu lumrah dalam hidup berdemokrasi. Tetapi rakyat Indonesia tidak harus berpecah.
Menurutnya, rakyat Indonesia ada empat asas dalam membina bangsa.
'Kita ada Pancasila sebagai ideologi negara, perpaduan kita dalam Kesatuan Bangsa Republik Indonesia, Perlembagaan 1945 dan slogan kita Bhinneka Tunggal Ika (Meski Berbeza Hakikatnya Satu Jua).'
Presiden Yudhoyono turut mengulangi pendirian Indonesia dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara lain.
'Kami akan meneruskan dasar luar kita yang bebas dan aktif,' tegas beliau, merujuk kepada prinsip tidak campur tangan dalam ehwal dalaman negara lain.
Menurutnya, Indonesia mengamalkan 'nasionalisme segar dan internasionalisme yang dinamik'.
'Dengan dasar ini, Indonesia berharap akan mendapat sejuta kawan dam tiada satu pun musuh,' tegas beliau.
Merujuk kepada pemanasan bumi dan perubahan iklim, Dr Yudhoyono berkata: 'Kami ingin menjadi pelopor bagi menyelamatkan bumi daripada akibat perubahan iklim.'
Indonesia, kata beliau, ingin bekerjasama dengan negara lain bagi keamanan dunia.
'Indonesia akan terus berada di garis depan dalam mewujudkan orde dunia yang lebih baik,' tegas beliau. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment