KETUA ajaran sesat "Rasul Melayu" Abdul Kahar Ahmad, 59, (kanan) diiringi pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini memerintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang bagi lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985. Beliau yang sebelum ini beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan, ditahan pasukan penguatkuasa JAIS pada 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang.--fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad sedang makan sambil menonton televisyen ketika ditangkap oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor pagi tadi.
Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika mendedahkan demikian juga berkata, Abdul Kahar cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di sebuah rumah dekat Sungai Long, Kajang.
"Semasa kita nak tangkap, dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita nak tahan dia cuba nak lari, tapi kita berjaya kepung... Rasul Melayu pun tak puasa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Abdul Kahar, 59, berjaya ditangkap setelah usaha memburunya dilakukan sejak Isnin lalu berdasarkan maklumat orang awam.
"Kita kesan dia di Sungai Long, setelah beliau berpindah ke sana, kita dapat maklumat dari orang awam mengesahkan yang dia telah berpindah ke Sungai Long.
"Jadi kita buat intipan beberapa hari untuk sahkan dia memang ada di situ dan kita buat serbuan pagi tadi," katanya.
Menurut beliau, ketika serbuan dibuat, anak lelaki Abdul Kahar yang dikenali sebagai Zulhelmi serta orang gaji mereka turut berada dalam rumah tersebut.
Abdul Kahar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini tengah hari tadi dan diperintahkan supaya ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.
Mahkamah turut menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.
Dalam sidang media yang sama, Mohammed Khusrin juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat untuk mengambil tindakan terhadap anak lelaki Abdul Kahar yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat melalui internet.
"Kita akan ambil tindakan terhadap Zul (Zulhelmi) kerana sekarang ini risalah-risalah mengenai ajaran sesat mereka disebarkan melalui internet.
"Mereka sebarkan melalui internet...ada laman blog sendiri, kita tunggu masa, bila kita dah cukup bukti kita akan ambil tindakan," katanya.
Wednesday, September 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment