Pages

Thursday, September 24, 2009

Pakatan Mempunyai Haluan Berbeza

BANTING, 24 Sept - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan gabungan parti pembangkang sebagai satu pakatan tidak rasmi dengan setiap parti terbabit mempunyai haluan berbeza selepas pilihan raya umum lepas.

"Parti pembangkang bukanlah satu alternatif. Amat malang jika parti pembangkang menang dan membentuk kerajaan (Persekutuan)," katanya ketika diminta mengulas mengenai perbalahan dalaman di kalangan gabungan parti Pakatan di Selangor.

"Mereka tidak akan dapat mentadbir negara sebaliknya asyik berbalah sesama sendiri. PAS akan berbalah dengan DAP, DAP akan bertegang urat dengan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan seterusnya," katanya kepada pemeberita selepas melawat limbungan NGV Tech Sdn Bhd di Kampung Sijangkang dekat sini Khamis.

Mengenai sama ada inkuiri Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) terhadap dakwaan amalan rasuah menjejaskan Barisan Nasional (BN) Dr Mahathir berkata: "Mereka boleh menyiasat, jika Barisan (Nasional) melakukan sesuatu yang salah ia perlu didedahkan. Saya mengetahui mengenai satu siasatan dilakukan terhadap saya sama ada saya ada mengambil wang (secara salah) atau tidak tetapi mereka tidak menemui apa-apa."

Beliau berkata: "Jika mereka mengadakan siasatan bagi mengetahui sama ada pemimpin lepas telah melakukan kesilapan, ia merupakan satu tidak yang betul."

Sebaliknya, kata bekas perdana menteri itu, apabila pemimpin sebelum ini melakukan kesalahan dan tiada tindakan dikenakan terhadap mereka sebaik bersara, kumpulan pemimpin yang baru akan beranggapan bahawa jika mereka melakukan kesalahan, tiada apa akan berlaku kepada mereka kerana ia akan disembunyikan.

Inkuiri SELCAT turut menghendaki pegawai-pegawai daerah diminta menjelaskan bagaimana peruntukan RM500,000 terhadap setiap wakil rakyat dalam pentadbiran sebelum ini diagihkan dalam tempoh dua bulan pertama 2008 sebelum pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lepas.

Mengenai pilihan raya kecil Bagan Pinang, Dr Mahathir menegaskan bahawa kualiti calon kerusi itu amat penting.

Ditanya sama ada beliau yakin BN mempunyai peluang cerah di Bagan Pinang, beliau berpendapat BN akan dapat mengekalkan kerusi itu jika meletakkan calon yang boleh diterima rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini