Pages

Friday, September 4, 2009

Mantan wanita pertama Taiwan dijatuhi hukuman penjara

TAIPEI: Mahkamah Taiwan semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas mantan wanita pertama negara itu kerana memberikan kenyataan palsu berhubung kes rasuah yang membabitkan suami dan dirinya.

Mahkamah Daerah Taipei berkata Wu Shu-chen, isteri bekas Presiden Chen Shui-bian, disabitkan atas tuduhan meminta anak-anak mereka agar berbohong ketika siasatan kes rasuah.

Kelmarin, anak lelaki Chen, anak perempuannya dan menantu lelakinya masing-masing dijatuhi hukuman enam bulan penjara kerana sumpah bohong.

Menyusuli prosiding yang berlangsung selama sebulan bagi perbicaraan utama kes rasuah dan pemindahan wang haram, mahkamah dijadualkan membuat keputusan terhadap Chen dan Wu pada 11 September ini.

Pihak pendakwa raya berkata Chen mungkin berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah terhadap semua tuduhan, termasuk menggelapkan wang dan mengambil rasuah.

Chen tidak mengaku salah atas semua tuduhan yang dihadapinya.

Dia sebaliknya mendakwa tuduhan yang dihadapinya diwujudkan oleh penggantinya, Encik Ma Ying-jeou, ekoran pendirian anti-China yang dipegangnya.

Sejak mengambil alih pucuk pimpinan tahun lalu, Encik Ma cuba mengetepikan dasar prokemerdekaan yang dipelopori Encik Chen dan telah cuba memperbaiki hubungan dengan China.

Chen, 58 tahun, dituduh menggelapkan wang sebanyak NT$104 juta ($4.5 juta) daripada dana khas presiden.

Dia juga dituduh mengambil rasuah bernilai AS$9 juta ($13 juta) berkaitan urus niaga tanah pemerintah.

Chen dituduh memindahkan secara haram sebahagian wang itu kepada sebuah akaun bank di Switzerland.

Chen, yang menjadi Presiden Taiwan dari 2000 hingga tahun lalu, ditahan di penjara Taipei sejak Disember lalu.

Para hakim menolak rayuan agar dia diikat jamin kerana terdapat risiko dia akan melarikan diri. -- AP.

No comments:

Posting Terkini