Pages

Friday, September 4, 2009

32 maut, lebih 10 bangunan roboh

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 32 orang terkorban dan lebih 10 bangunan runtuh selepas satu gempa sekuat 7.0 pada skala Richter menggegarkan tenggara Indonesia semalam.

Gegaran gempa pada dasar laut itu boleh dirasakan dari Tasik Malaya hingga ke Bandung dan Jakarta.

Sekitar 5,000 orang dipindahkan dari kawasan yang terjejas oleh gempa itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan bahawa gempa itu cukup kuat untuk mencetuskan tsunami tetapi amaran itu ditarik balik sejam kemudian.

Gegaran gempa yang sangat kuat pada 2.55 petang (waktu tempatan) itu mengakibatkan puluhan ribu pekerja di bangunan-bangunan tinggi di Jakarta panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri melalui tangga kecemasan.

Sekurang-kurangnya 18 orang dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan di Jakarta.

Teriakan 'gempa' dan laungan 'Allahuakbar' kedengaran berulang kali ketika pekerja di Wisma Antara, di ibu kota Indonesia itu, berasak-asak lari menyelamatkan diri ke luar bangunan.

Seorang penduduk Jakarta, Encik Victor Chan, yang tinggal di tingkat 34 di sebuah apartmen berkata bangunan itu bergegar dengan kuat.

'Gegaran itu lama. Saya rasa benar-benar takut dan lari ke bawah,' kata Encik Chan.

Jirannya, Cik Nur Syara, yang tinggal di tingkat 31 di bangunan yang sama pula berkata:

'Saya meniarap di lantai. Saya takut bangunan ini akan runtuh.'

Seorang saksi di bandar Tasik Malaya berkata beberapa bangunan runtuh, termasuk pejabat datuk bandar.

Sebuah masjid juga dilaporkan mengalami kerosakan.

'Kami semua sedang belajar apabila bangunan mula bergegar selama beberapa minit dan bumbung tiba-tiba runtuh,' kata Encik Evan, seorang pelajar di Universiti Siliwangi, yang bangunan utamanya mengalami kerosakan teruk.

Beberapa bangunan di Bandung juga dilaporkan mengalami kerosakan.

Di Selatan Cianjur di Jawa Barat, beberapa rumah di situ dilaporkan tertimbus tanah ekoran gempa.

'Gempa itu menyebabkan enam orang terkorban di kawasan itu,' kata seorang jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Encik Priyadi Kardono. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini