Pages

Tuesday, September 22, 2009

Khamenei nafi dakwaan Iran berhasrat hasilkan senjata nuklear

TEHERAN: Pemimpin agama tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menafikan tuduhan negara Barat bahawa Teheran bercita-cita menghasilkan senjata nuklear.

Beliau sebaliknya menegaskan negara itu malah mengharamkan kegiatan itu.

'Kami secara dasarnya menolak senjata nuklear dan melarang penghasilan dan penggunaan senjata nuklear. Mereka sendiri tahu yang tuduhan itu tidak benar...tetapi ia sebahagian daripada dasar untuk memomokkan Iran,' kata Ayatollah Khamenei dalam satu ucapan yang disiarkan di saluran televisyen setempat kelmarin.

Keyataan itu dibuat sebelum satu mesyuarat diadakan di antara Iran dengan enam negara kuasa dunia yang telah menuntut agar Teheran menghentikan program pengayaan uranium - satu proses yang boleh digunakan untuk menghasilkan bom atom.

Mesyuarat di Turkey pada 1 Oktober itu dijadualkan diadakan antara Amerika, Russia, China, Britain, Perancis dan Jerman.

Iran sebelum ini menolak tuntutan agar program pengayaan uranium itu diberhentikan sambil menegaskan program itu bertujuan menghasilkan tenaga nuklear bagi kegunaan awam.

Kenyataan Ayatollah Khamenei dikeluarkan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, pada Selasa lalu berkata Iran mesti menjawab secara terus terang mengenai keprihatinan dunia berkaitan program nuklearnya di mesyuarat dengan negara kuasa dunia itu kelak.

Ayatollah Khamenei menuntut agar negara-negara Barat mengubah pendiriannya.

'Mereka perlu memperbetulkan perkara ini. Negara Iran kini sedang dalam keadaan berjaga-jaga... Republik Islam (Iran) tidak akan berganjak,' kata beliau.

Selain daripada itu, Ayatollah Khamenei turut menafikan Iran berniat menyerang Israel dan menyifatkan tuduhan itu sebagai satu pembohongan oleh media Barat.

Kelmarin, Setiausaha Luar Britain, Encik David Miliband, berkata Iran harus mengambil 'langkah konkrit' untuk menghentikan kecurigaan Barat bahawa ia sedang cuba menghasilkan senjata nuklear.

'Isu Iran ini jelas dan ia harus ditangani bersama dengan isu (nuklear) Korea Utara,' katanya dalam satu wawancara dengan saluran Sky Television.

'Sudah tiba masanya Iran mengambil tindakan konkrit bagi menunjukkan mereka bersedia tertakluk di bawah perjanjian pelupusan senjata nuklear yang ternyata penting dalam usaha mengekang perkembangan senjata nuklear sejak 40 tahun lalu,' kata Encik Miliband. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini