SYDNEY: Pemerintah Australia sedang menimbangkan untuk menghalang langkah menghantar pulang dua wanita Kenya yang khuatir mereka akan dikhatan jika dipaksa pulang, kata para pegawai semalam.
Cik Grace Gichuhi, 22 tahun, dan Cik Teresia Ndikaru Muturi, 21 tahun, berada di Australia sejak perayaan Hari Belia Katolik Sedunia Julai tahun lalu, dan telah menggunakan hampir semua cara di bawah undangundang Australia untuk mendapatkan perlindungan.
Perdebatan dijangka bermula berhubung satu undang-undang baru yang akan melanjutkan tempoh visa perlindungan kepada wanita yang mahu mendapatkan perlindungan daripada amalan pencacatan kelamin wanita, atau female genital mutilation (FGM), tetapi ia ditentang pembangkang konservatif.
Sedang undang-undang kini tidak merangkumi dakwaan Cik Gichuhi dan Cik Muturi, Menteri Imigresen Australia, Encik Chris Evans, berkata beliau bersedia menimbangkan untuk campur tangan secara langsung dalam kes mereka.
'Kedua-dua wanita itu telah menyerahkan permohonan baru bagi campur tangan kementerian dan ini akan diproses dan dinilai dengan teliti,' kata jurucakap bagi Encik Evans kepada agensi berita AFP.
'Wanita-wanita itu tidak akan dibawa keluar dari Australia sementara permohonan mereka berada di tangan kami,' tambahnya.
Kedua-dua wanita itu datang daripada keluarga yang mengamalkan FGM. Cik Gichuhi berkata ibunya telah dibunuh anggota puak Mungiki kerana enggan menjalani FGM, dan beliau bimbang akan mati juga dalam mengamalkan adat itu.
'Mereka menggunakan sebilah pisau. Hanya sebilah pisau, tidak ada ubat,' kata beliau kepada akhbar Fairfax.
'Mereka menyunatkan anda dan anda mungkin mati,' ujarnya lagi.
Cik Muturi pula berkata bahawa beliau telah dijual pada harga 10 ekor lembu untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia 70 tahun, dan akan dikhatan jika beliau dipaksa pulang.
Bagaimanapun, seorang jurucakap pembangkang, Cik Sharman Stone, berkata undang-undang baru yang diusul itu akan mengundang dakwaan-dakwaan tidak benar dan penyalahgunaan. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment