Pages

Friday, August 21, 2009

Rohaizat digesa buat kenyataan bersumpah jika perlu

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Encik Rohaizat Othman, supaya memberi kenyataan bersumpah jika perlu bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu pembatalan lesen guaman sivilnya.

Beliau dipetik agensi berita Bernama sebagai berkata, tindakan itu bertujuan memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan kenyataan sebenar mengenai isu itu.

'Apa pun yang mustahak, kita bagi kenyataan yang betul. Saya telah bagi tahu Rohaizat bahawa kalau perlu beliau akan bagi kenyataan bersumpah untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya supaya tidak ada pihak yang menyelewengkan kenyataan,' katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin berkata beliau yakin Encik Rohaizat tidak bersalah dan tiada tindakan undang-undang atau dakwaan pecah amanah (CBT) dibuat terhadapnya di mahkamah.

Selain itu, Encik Rohaizat juga telah menjelaskan wang Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Bhd (KPGNPP) sebanyak RM140,000 ($57,428) dan pihak koperasi telah menulis surat menyatakan masalah itu telah selesai kepada Lembaga Tatatertib Peguam.

'Perkara ini telah selesai dan sepatutnya ia tidak dibangkitkan lagi dan selepas kita memberi penjelasan, biarlah pengundi di Permatang Pasir membuat penilaian terhadap Rohaizat sama ada dia benar atau tidak,' katanya.

Sementara itu, bekas rakan kongsi Encik Rohaizat semalam tampil untuk memberi penjelasan bagi membersihkan dirinya daripada 'dikambinghitamkan' berhubung kes membabitkan pembelian hartanah KPGNPP pada 2002 itu.

Encik Yusri Isahak, bekas rakan kongsi firma guaman Saif Ariff dan Rohaizat, dipetik laman berita Malaysiakini sebagai berkata, kenyataan Ketua Penerangan Umno, Encik Ahmad Maslan, bahawa Encik Rohaizat tidak terlibat dalam penyalahgunaan wang pelanggannya adalah 'satu pembohongan' dan tidak harus menyalahkan rakan kongsinya itu.

Ini kerana penggunaan wang koperasi itu dibuat dengan pengetahuan dan penglibatan Rohaizat, jelasnya dalam satu kenyataan yang disebarkan kepada pihak media.

No comments:

Posting Terkini