GENEVA: Seramai 1,799 orang meninggal dunia akibat flu H1N1 sejak virus itu dikesan April lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.
Jumlah itu bertambah lebih 300 orang daripada 1,462 kematian yang dilapor WHO seminggu lalu.
Ghana, Tuvalu dan Zambia antara negara terbaru melaporkan kes pertama H1N1, sedang virus itu merebak ke lebih 170 negara dan disahkan menjangkiti 182,166 orang.
Angka kematian paling besar dicatat di Amerika Utara dan Selatan, iaitu 1,579 orang, diikuti rantau Asia Tenggara dengan 106 orang dan Eropah 53 orang.
Kematian di Amerika Latin, rantau paling teruk terjejas, meningkat kepada lebih 1,300 orang kelmarin. Brazil Selasa lalu berkata angka korbannya meningkat kepada 368 orang, menjadikannya negara ketiga paling teruk terjejas selepas Argentina, dengan 404 kematian, dan Amerika Syarikat, 477 kematian.
Dengan vaksin flu H1N1 boleh didapati hanya lebih sebulan lagi dan negara kaya sudah mengaut semua tempahan daripada syarikat pengeluar ubat, beberapa negara Amerika Latin kini bercadang mengeluarkan vaksin mereka sendiri.
Presiden Argentina, Cik Cristina Kirchner, Selasa lalu menggesa syarikat gergasi pengeluar ubat menggugurkan perlindungan paten bagi vaksin mereka.
'Memandangkan pengakuan makmal mereka tidak dapat menghasilkan cukup vaksin flu H1N1 bagi seluruh dunia, maka hak ekonomi patut digantung demi melindungi kesihatan umat manusia,' kata beliau.
Argentina, Brazil dan Uruguay boleh bekerjasama bagi menghasilkan vaksin bagi rantau itu, ujarnya.
Australia, yang mencatat 121 kematian, semalam berkata ia akan memulakan kempen suntikan vaksin bulan depan. Suntikan pertama dijangka melibatkan empat juta penduduk, terutamanya wanita hamil, pesakit tenat, mereka yang gemuk, Orang Asli, kanak-kanak cacat dan pekerja kesihatan.
Amerika pula menjangka suntikan vaksin mula dijalankan pertengahan Oktober. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment