SUNGAI SIPUT: Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, yang dikenakan hukuman sebatan enam kali dan denda RM5,000 ($2,051) kerana meminum arak jenama Tiger Beer pada Julai tahun lalu, kelmarin mengaku mahu keluarga, sanak saudaranya dan pihak media menyaksikan dia menjalani hukuman sebat.
Jika boleh saya mahu keluarga dan sanak-saudara dibenar menyaksikan saya dirotan. Malah, saya juga memohon supaya media dibenar membuat liputan ketika hukuman itu berlangsung,' kata Kartika, 32 tahun, dalam laporan akhbar Harian Metro semalam.
Model sambilan itu mengulas hukuman enam sebatan secara syariah yang bakal dijalaninya di Penjara Wanita Kajang selepas mengaku bersalah meminum arak di Cherating, Kuantan, pada 11 Julai tahun lalu.
'Saya terkilan kerana hukuman tidak dilaksanakan di khalayak ramai seperti yang saya inginkan. Apa pun, saya boleh menghela nafas lega kerana hukuman itu akan dilaksanakan,' katanya lagi.
Ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawang Salak (U) di sini kelmarin, Kartika berkata niatnya mahu menjalani hukuman sebat di khalayak ramai bukan untuk mengaibkan diri sendiri, tetapi ingin memberi pengajaran kepada orang lain.
'Jika hukuman itu dilaksanakan di penjara, orang ramai tidak dapat menyaksikannya, sekali gus saya gagal menyampaikan mesej itu. Saya tak pernah menyesal atas keputusan yang saya buat (enggan membuat rayuan terhadap hukuman dijatuhkan kepadanya).
'Saya sudah memalukan keluarga kerana dididik dengan ilmu agama sejak kecil oleh ibu bapa saya. Namun, saya alpa dan dengan hukuman ini saya harap ia dapat menyedarkan saya untuk kembali ke jalan benar,' jelasnya.
Kes Kartika mendapat liputan meluas selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, pada 20 Julai lalu, menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadapnya selepas dia disabitkan kesalahan meminum arak.
Kartika yang reda dengan hukuman itu mahu ia dilaksanakan di khalayak ramai, tetapi Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Selasa lalu, mengeluarkan waran penahanannya.
Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan Kartika ditahan berkuat kuasa 24 Ogos ini, bagi tempoh tujuh hari untuk menjalani hukuman itu.
Kartika berkata, dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental dan menganggap ia balasan terhadapnya kerana melakukan dosa besar dan menconteng arang ke muka orang tuanya.
'Persediaan saya lebih kepada aspek kerohanian dengan membaca doa dan Al-Quran. Saya jangka hukuman akan dilakukan sebelum Ramadan... saya reda dan anggap hukuman yang akan dijalankan pada bulan penuh berkat itu sebagai cabaran dan ujian daripada-Nya,' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment