RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi kelmarin mendedahkan ia telah memberkas 44 suspek militan yang ada kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda dalam operasi selama setahun.
Satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata 17 laras senapang Kalashnikov, 50 mesingan, 42 kotak peluru dan 96 alat peletup kawalan jauh dirampas.
Menurut jurucakapnya, alat peletup itu didapati disorok dalam tanah di dua kawasan terpencil, satu di kejiranan Qassim dan satu lagi di sebuah lembah dekat ibu kota Riyadh.
'Suspek diberkas sepanjang tempoh satu tahun. Operasi bermula pada 20 Julai 2008 dan berakhir pada 2 Ogos tahun ini,' kata jurucakap kementerian itu, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki, yang ditukil laman berita Arab News.
Menurut beliau, 43 daripada mereka warga Saudi. Pengenalan mereka tidak didedah, tetapi Mejar Jeneral Al-Turki berkata di kalangan mereka ada mempunyai kelayakan teknikal dan ijazah lanjutan universiti.
Menurut beliau, seorang daripada mereka mendapat latihan di Britain dan negara lain dalam penggunaan senjata api ringan dan berat. Segelintir daripada mereka mendapat latihan cara membancuh dan meletupkan bahan ledakan.
Yang lain mendapat latihan memalsukan dokumen dan kad pengenalan. Mereka semua berusia antara 20 dan 60 tahun.
'Tidak seorang pun daripada mereka termasuk dalam senarai 85 militan yang dikehendaki, yang disiarkan Februari lalu,' kata Mejar Jeneral Al-Turki.
'Kami juga menjumpai 39 majalah disorok dalam satu kompartmen di belakang sebuah dinding konkrit di rumah seorang suspek,' kata beliau.
Siasatan menunjukkan sebahagian suspek berhubung dengan panglima kanan Al-Qaeda yang beroperasi di luar Arab Saudi.
Ada suspek berhubung dengan militan setempat Al-Qaeda yang terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Arab Saudi baru-baru ini.
Suspek mengambil kesempatan daripada kerja-kerja amal untuk merekrut belia dan membiayai kegiatan mereka melalui derma amal.
Sesetengah suspek pernah menggunakan wang sendiri untuk membiayai operasi pengganasan.
Menurut Mejar Jeneral Al-Turki, suspek cuba menubuhkan kelompok pengganas 'yang akan melaksana matlamat tanpa pelibatan secara langsung'.
'Mereka menjadi dalang yang mengendalikan orang lain, sedang mereka sendiri bergerak dalam gelap,' kata beliau. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment