Pages

Saturday, August 15, 2009

Pertandingan Azan Lahirkan Bilal Pelapis

SHAH ALAM, 15 Ogos - Lazimnya, bilal masjid dan surau-surau yang mengalunkan azan adalah terdiri daripada kalangan mereka yang telah berusia.

Menyedari kekurangan tersebut serta pentingnya laungan azan dan peranan bilal, Radio Malaysia Selangor menganjurkan pertandingan azan muazin peringkat negeri Selangor.

Pengarah Penyiaran Selangor, Isamuddin Ahmad berkata program yang julung kali diadakan ini bertujuan melatih dan mendedahkan remaja, terutama pelajar sekolah dengan kemahiran dan teknik melaungkan azan.

“Yang ini merupakan satu projek percubaan kali pertama dan iannya telah berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam melaungkan azan. Tapi perkara yang paling penting wujud hubungan yang rapat sekolah-sekolah agama dan mereka juga memberi komitmen yang tinggi untuk jayakan program ini”,katanya.

Isamuddin berkata demikian kepada media selepas Pertandingan Akhir Azan Muazin Muda Peringkat Negeri Selangor, di Kompleks Seni Islam Selangor, Shah Alam petang tadi.

Katanya, 60 pelajar tingkatan satu hingga 5 dari seluruh negeri, menyertai uji bakat pada saringan pertama, 4 Julai lalu tetapi hanya 10 peserta layak ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, seorang peserta menarik diri pada saat-saat akhir.

Pada pertandingan petang tadi, Muhammad Firdaus Sobri, dari Sekolah Menengah Agama Hulu Langat, muncul johan mengalahkan lapan peserta lain.

Suaranya yang nyaring, jelas dan menepati hukum-hukum tajwid, berjaya mengutip markah tertinggi iaitu 81 peratus, mengalahkan Halid Sabtu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor dengan perbezaan 0.5 peratus di tempat kedua.

Firdaus menerima hadiah iringan berupa Al-Quran dan wang tunai sebanyak RM2,000.

Sementara, tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM1,500 dan RM1,000.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Shahir Makhtar.

Sementara itu, Firdaus yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana terpilih sebagai juara pertandingan ini.

“Saya akan melanjutkan pelajaran saya dalam bidang teranum, inilah untuk tingkatkan lagi sama ada dalam bidang teranum ini,ia merangkumi pelbagai aspek”,katanya.

No comments:

Posting Terkini