SINGAPURA, 17 Ogos -- Tiga lanun membatalkan cubaan mereka untuk merompak sebuah kapal tangki berdaftar di Singapura yang sedang berlabuh di perairan Tanjong Ramunia, Johor pada awal pagi Sabtu lalu selepas melihat krew kapal itu sudah bersedia untuk melawan mereka.
Pusat Perkongsian Maklumat Asia, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Membanteras Pelanunan dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal (ReCAAP ISC) Isnin berkata lanun berkenaan memanjat kapal tangki 'Kirana Tritya' dari sebuah bot kayu pada kira-kira 3.45 pagi, 15 Ogos.
Seorang daripada krew kapal yang sedang bertugas ternampak mereka dan segera memaklumkan pegawai bertugas di jambatan navigasi dan krew lain di atas dek.
Amaran telah dibunyikan apabila lanun berkenaan dikesan dan semua krew berkumpul di jambatan navigasi, menurut ReCAAP ISC dalam kenyataan.
Sebaik melihat krew sudah bersedia menunggu di jambatan kapal itu, lanun berkenaan melarikan diri dengan bot kayu mereka, katanya.
Kesemua 22 krew warganegara Indonesia tidak dicederakan dan tiada harta benda atau peralatan yang rosak atau dicuri dalam kejadian itu.
Menurut pusat itu, ini merupakan kejadian keempat dilaporkan dalam kawasan perairan Tanjung Ramunia dan Tanjung Ayam sejak Januari tahun ini dan semua kejadian berlaku ketika kapal sedang berlabuh di sana.
Menurutnya kapal tangki dan kapal pengangkut muatan sering menjadi sasaran di kawasan itu dengan dua kejadian melibatkan kapal tangki dan dua lagi melibatkan kapal pengangkut muatan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment