Pages

Thursday, July 30, 2009

Mendiang suami ada simpanan RM160 bilion

PORT DICKSON: Siasatan awal oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapati dakwaan seorang wanita bahawa mendiang suaminya meninggalkan wang sebanyak RM160 bilion ($65.3 bilion) dalam akaun bank tempatan mempunyai asas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, berkata wanita Cina berusia 48 tahun itu telah mengemukakan bukti termasuk slip cek dan dokumen perniagaan bertaraf antarabangsa yang diusahakan oleh mendiang suaminya yang berumur 52 tahun.

Saya sudah mengadakan mesyuarat pertama dengan wakil bank berkenaan. Mereka berjanji akan menjalankan siasatan dalaman serta memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu,' kata Datuk Murugiah, seperti ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.

'Siasatan awal mendapati dakwaan itu mempunyai asas. Tetapi kami tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Jika terbukti benar, kami akan membantu beliau mendapatkan haknya, termasuk menuntutnya di Amanah Raya Berhad,' katanya.

Datuk Murugiah berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Motivasi Pembantu Am Pejabat Gred N1/N4 anjuran Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam semalam.

Jumaat lalu, Datuk Murugiah, yang bertanggungjawab bagi BPA, mendedahkan pihaknya sedang menyiasat laporan seorang balu yang mengadu suaminya ada meninggalkan wang sebanyak RM160 bilion dalam akaun sebuah bank tempatan.

Beliau terkejut dengan aduan berkenaan kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar. Tambahan pula, ia dimiliki seorang rakyat Malaysia. Jika benar, suami wanita itu adalah lelaki terkaya di Malaysia.

Mengikut laporan Forbes Asia pada Mei lalu, lelaki terkaya di Malaysia adalah peneraju Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok, yang memiliki nilai aset terkumpul sebanyak AS$10 bilion ($14.42 bilion), manakala ahli perniagaan Ananda Krishnan berada di tempat kedua dengan AS$9 bilion. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini