Pages

Sunday, June 14, 2009

Pembinaan dianggap bukan keperluan mendesak

JOHOR BAHRU: Anggota Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, menyifatkan langkah pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dengan Singapura di Timur Johor sebagai tidak wajar.

Datuk Shahrir berkata, pembinaan jambatan antara Singapura dengan Pengerang seterusnya Mersing itu bukan keperluan mendesak bagi rakyat negara ini dan pelancong dari republik itu.

'Pandangan saya, pembinaan jambatan itu bukan satu keperluan yang mendesak sebaliknya kerajaan perlu meningkatkan kecekapan perkhidmatan feri atau menggalakkan penggunaan kapal dan bot bagi menghubungkan kedua-dua negara,' katanya yang ditukil agensi berita Bernama.

'Sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor di pusat bandar raya sebagai mengatasi masalah kesesakan,' kata Datuk Shahrir kepada pemberita selepas program gerak mesra parlimen Johor Bahru, di sini kelmarin.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin mengenai minat Singapura membina jambatan ketiga bersama Malaysia.

Datuk Seri Najib berkata minat Singapura itu dilahirkan oleh Menteri Pembimbing Singapura, Encik Lee Kuan Yew, pada pertemuan mereka di Putrajaya, beberapa hari lepas.

Menurut Datuk Seri Najib, Singapura menyatakan pembinaan jambatan ke Timur Johor itu berpotensi menjadi satu lagi pusat pelancongan terkenal seperti di Bali, Indonesia, iaitu Nusa Jaya.

'Beliau (Encik Lee) menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia membina jambatan ketiga itu. Jambatan itu boleh membangunkan Johor dan daerah seperti Mersing, Desaru dan seterusnya ke Kuantan di Pahang.

'Saya sudah mengarahkan pihak terbabit untuk menyediakan kajian kemungkinan dan perunding untuk projek itu. Ia ada kaitan dengan pembangunan koridor Iskandar,' kata Datuk Seri Najib.

Encik Lee kini dalam rangka lawatan lapan hari ke Malaysia mulai Isnin lalu.

Datuk Shahrir berkata penggunaan feri dan bot di perairan Pengerang berbanding jambatan ketiga juga menepati imej Pengerang sebagai pusat riadah dan peranginan pantai.

Katanya, kos pembinaan jambatan ketiga itu lebih baik digunakan untuk membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini