Pages

Wednesday, June 17, 2009

LALUAN SUKAR BAGI PERDAMAIAN DI TIMUR TENGAH

SELEPAS agak lama, barulah kelmarin Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberikan ucapan balas kepada ucapan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, di Kahirah, 4 Jun lalu, yang antara lain menyentuh masa depan Palestin. Umumnya, beliau menuntut Palestin menerima Israel sebagai negara Yahudi demi membolehkan kemunculan sebuah watan Palestin. Namun Palestin tiada kuasa ketenteraan dan tiada jalinan dengan negara yang tidak disukai Israel. Bahkan Encik Netanyahu tidak memberi respons kepada seruan Encik Obama agar dihentikan pembinaan petempatan Yahudi di tanah Palestin.

Encik Netanyahu berjaya tipis dalam pilihan raya Israel yang sengit dek sokongan golongan tegar Yahudi yang ingin membolot semua tanah Palestin yang dirampas sejak tiga peperangan (1948, 1967 dan 1973). Golongan ini tidak peduli sejumlah ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mengarahkan tembok pemisah yang membelah tanah Palestin itu dirobohkan. Bagi mereka, watan Yahudi ialah di tanah Palestin yang sudah dijanjikan dalam kitab suci mereka. Namun masih ada warga Israel Yahudi yang cintakan kedamaian dan sanggup berkongsi dengan rakyat Palestin.

Tidak hairanlah jika Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menyifatkan ucapan Encik Netanyahu tidak membawa sebarang makna yang besar. Mentelah Encik Obama sudah menegaskan bahawa jalinan negaranya dengan Israel tidak boleh diputuskan. Memang tanpa sokongan Amerika dan sejumlah negara Barat, Israel mungkin sukar untuk menakat dalam kejiranan Arab. Namun cara penakatannya tidak sesuai dengan budi bicara kejiranan yang kini disedari oleh Pentadbiran Obama sendiri. Namun selagi Israel yang mempunyai ekonomi dan ketenteraan yang terkuat di Timur Tengah enggan bertolak-ansur, maka selagi itulah watan Palestin hanya tinggal cakap-cakap dan impian.

Suasana serba daif di Palestin hanya akan membentuk generasi mudanya yang membenci Israel. Kesan jiwa tertindas ini dialami kaum Yahudi sewaktu mengalami zaman penganiayaan Nazi Jerman, termasuk peristiwa pembunuhan beramai-ramai. Atas nama hak asasi dan kesedaran insani, Israel perlu merebut peluang damai secara telus dengan mengetepikan ketegaran dan mencari huraian dengan sikap kesederhanaan.

No comments:

Posting Terkini