Pages

Tuesday, June 9, 2009

KOREA U HUKUM DUA WARTAWAN AS JEL 12 TAHUN

SEOUL: Korea Utara semalam mengenakan hukuman 12 tahun penjara kerja berat ke atas dua wartawan wanita warga Amerika Syarikat kerana masuk ke negara itu secara haram, sekali gus meningkatkan lagi ketegangannya dengan Washington menyusuli ujian bom nuklear Pyongyang bulan lepas.

Dalam laporan singkat, agensi berita KCNA berkata Cik Laura Ling, 32 tahun, dan Cik Euna Lee, 36 tahun, dikenakan hukuman selepas perbicaraan selama lima hari berakhir semalam.

Mereka didapati bersalah kerana 'jenayah berat' terhadap negara itu dan kerana memasuki Korea Utara secara haram, kata KCNA.

Mahkamah 'mengenakan setiap mereka hukuman 12 tahun pemulihan menerusi kerja berat', kata laporan itu.

Seorang pakar undang-undang di Universiti Pengajian Korea Utara di Seoul, Encik Choi Eun-suk, berkata frasa itu merujuk kepada hukuman penjara.

Menurut beliau, undang-undang Korea Utara menghendaki pesalah dipindahkan ke penjara dalam tempoh 10 hari selepas keputusan dibuat.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ian Kelly, berkata Washington sedang berusaha mengesahkan laporan mengenai perkara itu.

Menurutnya, Amerika 'amat bimbang' mengenai keputusan itu dan para pegawai akan menggunakan semua saluran bagi membebaskan kedua-dua wartawan tersebut.

Para penganalisis berpendapat Pyongyang mahu menggunakan kedua-dua wartawan itu sebagai alat tawar-menawar sewaktu Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) membahas resolusi baru untuk menghukum Korea Utara di atas ancaman ketenteraannya.

Sesetengah penganalisis percaya rundingan akan dimula sekarang yang besar kemungkinan membawa kepada pembebasan kedua-dua wartawan itu.

'Korea Utara tidak mahu membebaskan mereka sebelum keputusan mahkamah kerana langkah itu akan dilihat sebagai tunduk kepada Amerika Syarikat,' kata Profesor Hajime Izumi, pakar perhubungan antarabangsa dan Korea Utara di Universiti Shizuoka di Jepun.

'(Sekarang) Korea Utara mungkin membebaskan mereka atas sebab kemanusiaan dan akan menuntut Amerika memberi bantuan kemanusiaan sebagai balasan,' tegas beliau. -- AP, AFP, Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini