Pages

Saturday, June 27, 2009

Benarkan 60,000 perwakilan mengundi

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan perlembagaan Umno untuk membenarkan 60,000 perwakilan mengundi pada pemilihan parti itu berbanding 2,600 perwakilan yang diamalkan sekarang adalah cara terbaik bagi membendung amalan rasuah, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyambut baik cadangan tersebut, beliau mengingatkan bahawa akhirnya anggota Umnolah yang perlu mengubah sikap mereka dengan tidak meneruskan amalan menerima dan memberi rasuah.

"Ini merupakan pindaan perlembagaan Umno untuk kali ketiga bagi mengelak amalan rasuah di kalangan ahliahli Umno tetapi kalau ahliahli Umno masih mengutamakan menerima rasuah sebanyak RM200, RM300 daripada mengutamakan parti, bangsa dan negara, apa pindaan pun tidak akan mendatangkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri anjuran Biro Penerangan Umno Bahagian Pandan, Selangor di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU), Janda Baik, Pahang, hari ini.

"Walaupun membenarkan sebanyak 60,000 perwakilan untuk mengundi dalam pemilihan Umno, (memboleh) kita bebas daripada rasuah, akhirnya sikap kita itu yang lebih penting," tegas beliau.

"Jangan terima rasuah, itu adalah satu perkara besar, anda makan duit haram macam makan babi, bagi saya orang yang makan duit rasuah, dia beli apa pun ia jadi haram, kalau dia beli makan, dia macam makan babi," katanya.

Dr Mahathir menegaskan perkara ini ketika mengulas mengenai sistem kuota yang diamalkan Umno sekarang yang dikatakan menjadi punca kepada amalan rasuah yang berleluasa.

Draf pindaan perlembagaan Umno itu dijangka siap sebelum perhimpunan Agung Umno khas yang dijadual dari 13 hingga 16 Okt ini. Ditanya mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan Dr Mahathir berkata beliau lebih suka berusaha untuk memulihkan semula kredibiliti Umno di kalangan anggota dan juga penyokong parti yang bukan ahli parti Umno kerana mereka ini akan menentukan sama ada Umno akan menang atau kalah pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Mahathir turut meluahkan perasaan gembiranya kerana inilah kali pertama selama enam tahun sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, diberi peluang untuk bercakap terus dengan anggota Umno.

"Saya lebih senang cakap dengan orang Umno (di peringkat akar umbi) daripada orang atasan, akhirnya orang di peringkat akar umbi yang akan menentukan menang atau kalah," katanya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini