GEORGETOWN: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu satu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas.
Proses penamaan calon akan berlangsung esok di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan hari pengundian pada 31 Mei.
Kehangatan dan kemeriahan pilihan raya kecil kali ini kurang dirasakan memandangkan Barisan Nasional (BN) pada Isnin lalu mengumumkan tidak bertanding bagi merebut kerusi itu.
Calon PKR yang akan bertanding merebut kerusi itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang Mansor Othman, 56, manakala ahli perniagaan Mohd Saberi Othman, 49, dan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang Aminah Abdullah, 56, telah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon Bebas.
Pengurus syarikat Nai Khan Ari, 41, yang telah mengambil borang pencalonan dijangka mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi itu atas alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.
Pada pilihan raya umum 2008, Mansor bertanding di DUN Pulau Betong menentang Muhamad Farid Saad dari BN tetapi tewas dengan majoriti 294 undi.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar - 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment