MELAKA: Kementerian Sumber Manusia menjangkakan Peraturan Kerja Separa Masa untuk pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja dapat dilaksanakan pada bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.
"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, hari ini.
Dr Subramaniam berkata isu berkenaan antaranya berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bayaran kerja lebih masa dan cuti sakit.
Peraturan itu digubal antaranya bagi menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separa masa, menentukan faedah minimum kepada pekerja separa masa, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar, katanya.
Beliau berkata kebenaran untuk kerja separa masa itu bagi membantu pekerja yang berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment