KUALA LUMPUR: Lebih 25 pangkalan haram, kebanyakannya di pesisir Selat Melaka, dipercayai digunakan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit rakyat asing termasuk dari Afghanistan, Pakistan dan Iraq ke Australia melalui Indonesia secara haram.
Antara lokasi itu ialah sekitar Pulau Langkawi, perairan Pelabuhan Klang, Port Dickson dan Teluk Ramunia, yang dianggap strategik kerana selain berhampiran perairan Indonesia, ia sukar dikesan pihak berkuasa.
Satu sumber kelmarin memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), sindiket itu biasanya menggunakan tujuh laluan di Selat Melaka dan Selat Tebrau serta singgah di beberapa lokasi di Indonesia dan Timor Leste sebelum meneruskan perjalanan ke Darwin, Australia.
Beliau memberi contoh, dari pangkalan haram di Teluk Ramunia bot yang dinaiki rakyat asing itu singgah di Batam, Indonesia, yang mengambil masa perjalanan antara 30 minit dengan 45 minit.
Mereka kemudian dibawa ke Jakarta sama ada menggunakan penerbangan komersial atau kapal sebelum meneruskan perjalanan ke Kupang di wilayah Nusa Tenggara Timur yang bersempadankan Timur Leste.
'Dari Kupang, mereka menaiki bot memasuki perairan Australia untuk ke Darwin menggunakan laluan pengawal pantai negara itu supaya mereka ditangkap bagi memudahkan memohon suaka politik,' katanya.
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan mengesahkan sekurang-kurangnya 15 laluan 'tikus' di sekitar Pengerang dan Teluk Ramunia, Johor, digunakan sindiket penyeludupan pendatang haram.
Pasukan Gerakan Marin (PGM) Selangor pula mengenal pasti beberapa kawasan hutan bakau di sepanjang pantai negeri itu dijadikan laluan keluar masuk sindiket terbabit.
Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh, berkata jarak paling hampir Malaysia dengan Indonesia adalah antara Tanjung Stapa, Johor, dengan Pulau Batam, Indonesia, kira-kira sembilan batu nautika.
'Penyeludup mengambil masa antara 10 hingga 15 minit saja untuk sampai ke Pulau Batam jika menggunakan bot berkuasa tinggi pada kelajuan 50 knot. APMM hanya mula menyedari negara ini dan Indonesia mungkin dijadikan 'transit' untuk ke Australia selepas menahan lebih 30 warga Pakistan dan Afghanistan di perairan Klang, Selangor, Februari lalu,' katanya.
Sabtu lalu pula, 37 rakyat asing termasuk 16 warga Afghanistan, 14 Pakistan dan tiga Iraq ditahan di perairan Kuala Langat, Selangor.
Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan tragedi bot karam yang mengorbankan sembilan orang termasuk enam sekeluarga dari Pakistan di perairan Teluk Ramunia, Selasa lalu, ada kaitan dengan sindiket itu. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment