Pages

Wednesday, April 29, 2009

Presiden Upko Ulas Kedudukan Raymond Tan

KOTA KINABALU, 28 April -- Ketika beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah begitu hebat memperkatakan tentang kedudukan Timbalan Ketua Menteri Raymond Tan dalam Kabinet negeri berikutan status beliau yang tidak menganggotai mana-mana parti, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) mengambil pendirian untuk tidak mengumumkan pendiriannya sehinggalah ia mengadakan perjumpaan dengan ketua menteri.

Presidennya Tan Sri Bernard Dompok berkata setakat ini beliau masih belum berpeluang berbincang tentang perkara itu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya oleh kerana Musa telah bersetuju untuk berbincang tentang isu itu dengan anggota parti berkenaan pada suatu tarikh kelak, maka adalah tidak manis baginya berbicara tentang isu itu.

Dompok, yang juga Menteri Industri Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya pendirian Upko tentang perkara itu selepas beliau mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa bersama keempat mengenai kerjasama dua hala berkaitan komoditi antara Malaysia dan Indonesia di sini hari ini.

Ditanya sama ada Upko akan menimbang untuk menerima Tan sebagai anggotanya, beliau berkata sekiranya Tan memohon untuk menganggotai parti itu, maka keputusannya akan ditentukan oleh majlis tertinggi parti berkenaan.

Ahad lepas, majlis tertinggi Parti Demokratik Liberal (LDP) bersetuju sebulat suara untuk meminta Tan berundur daripada jawatannya dalam Kabinet negeri bagi menyokong kenyataan timbalan presidennya Datuk Chin Su Phin tentang perkara itu.

Susulan kepada itu, semalam, Musa berkata beliau akan membuat keputusan tentang kedudukan Tan setelah mengambil kira pandangan semua parti komponen BN.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata parti itu berkongsi sentimen yang sama tentang perkara berkenaan dan menyerahkan kepada Musa untuk membuat keputusan mengenainya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan berasingan, ketua penerangan parti itu Johnny Mositun berkata PBS sedia menimbang untuk menerima Tan sebaai anggotanya jika beliau ingin berbuat demikian.

Awal minggu lepas, beberapa pemimpin BN membidas Chin kerana meminta Tan melepaskan jawatannya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini