PUTRAJAYA: Perbalahan antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja berterusan hari ini apabila lebih 300 anggota kesatuan itu mengadakan bantahan secara serentak di lapan pejabat jabatan berkenaan di seluruh negara.
Diketuai pegawai cawangan Nube di negeri masing-masing, mereka menyerahkan surat bantahan terbuka yang mengandungi 1,400 tanda tangan dan dialamatkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, kepada pegawai jabatan itu.
Nube mendakwa ketua pengarah jabatan itu, Omana Pillai, mencampuri urusan kesatuan mereka dan menuntut pertukarannya.
Ia juga menuduh jabatan berkenaan membuat laporan palsu kepada polis mengenai tiga isu iaitu kegagalan kesatuan itu mengemukakan dokumen dan akaun yang telah diaudit, penjualan sebidang tanah pada harga RM1.5 juta dan pembelian sebuah bangunan tiga tingkat pada harga RM5 juta.
Dalam surat bertarikh hari ini yang salinannya dihantar kepada Bernama, kesatuan itu menuntut kesungguhan menteri berkenaan dalam menyiasat dakwaan tersebut dan membersihkan nama Nube.
Sebelum ini, Nube telah memberi penjelasan berhubung tiga isu berkenaan dan menafikan melakukan sebarang penyelewengan.
Ia juga memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
Surat itu juga menyatakan sekiranya menteri berkenaan tidak memberi reaksi dalam masa seminggu, Nube akan menganggap bahawa laporan polis itu dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baiknya.
Ia juga akan menganggap laporan polis itu dibuat bagi memecah-belahkan anggotanya bagi memenuhi matlamat jabatan berkenaan untuk "menghancurkan agenda Nube".
Jabatan berkenaan enggan memberi sebarang ulasan apabila dihubungi hari ini. - Bernama
Wednesday, April 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment